PRN Sabah: BN Konsisten Bela Rakyat, Banyak Bukti Pembangunan – Dr Asyraf Wajdi
SEPANGGAR, 25 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) sentiasa konsisten membela rakyat Sabah sejak awal pembabitan parti itu di negeri berkenaan pada tahun 1990-an.
Berucap dalam sebuah program bersama pengundi di Kampung Lepasan malam tadi, beliau berkata pemimpin BN tidak pernah meninggalkan rakyat, berbeza dengan segelintir pihak yang kini melaungkan sentimen menolak parti “Malaya”.
Menurutnya, UMNO/BN datang ke Sabah pada awal 90-an kerana dijemput oleh rakyat yang mahukan pembangunan dan kemajuan.

“Pada masa itu, liputan elektrik di negeri tersebut hanya sekitar 35 peratus. BN ketika itu merancang pembangunan jangka panjang untuk Sabah. Salah satu langkah penting ialah memastikan liputan elektrik meningkat sekurang-kurangnya 85 peratus dalam tempoh 20 tahun. Hari ini, kita lihat kesannya dan ketika BN jatuh pada 2018, liputan elektrik di Sabah sudah melebihi 90 peratus,” katanya.
Asyraf turut menegaskan bahawa banyak perubahan besar yang berlaku di Sabah adalah hasil inisiatif kerajaan BN, termasuk pembinaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), UiTM, Institut Kemahiran Mara (IKM), jaringan jalan raya, infrastruktur asas serta banyak lagi yang lain.
“Walaupun BN kalah di Semenanjung pada 2018, BN Sabah tidak pernah kalah. Rakyat Sabah setia dan tahu menghargai jasa. Yang tumbang ketika itu ialah kerajaan pusat sedangkan di Sabah BN jatuh kerana ada pemimpin atasan yang melompat atas alasan mahu jaga rakyat, sedangkan sebenarnya mengejar kepentingan peribadi,” jelasnya.
Beliau menambah, adalah tidak wajar untuk terus menyalahkan BN terhadap kelemahan pentadbiran semasa, sedangkan projek-projek yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan kini seperti Pan Borneo masih tidak siap, manakala jalan raya pula kekal berlubang dan rakyat masih menderita.

“Ada pula yang tawarkan roti Gardenia untuk membeli sokongan. Jangan sesekali jual maruah dengan bayaran sebegitu. Pilihlah BN kerana inilah parti yang mempunyai rekod pencapaian jelas, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
Asyraf turut menyeru pengundi Karambunai supaya menjadikan kawasan itu sebagai kerusi pertama yang menyumbang kepada kemenangan BN dalam pilihan raya kali ini.
“Pilih wakil rakyat BN yang dapat menjadi penghubung efektif antara rakyat dan kerajaan,” tambahnya lagi.
Turut hadir bersama beliau ialah calon BN DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan bersama jentera parti dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
