PRN: Jentera PDM Benar-benar Bersedia, Tekad Gapai Kemenangan – Mohd Jafni
TUARAN, 25 Nov – Ketua UMNO Bahagian Kulai Datuk Mohd Jafni Md Shukor bersyukur kerana berkesempatan turun melawat tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk yang diamanahkan kepada UMNO Johor untuk membantu dan perkukuhkan jentera.
Menurut Exco Kerajaan Negeri Johor itu, setiap PDM yang dikunjungi menunjukkan kesungguhan luar biasa jentera teratur, berdisiplin dan benar-benar bersiap menghadapi cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.

“Semangat mereka meyakinkan bahawa kemenangan bukan angan-angan, tetapi usaha nyata yang sedang digerakkan.
“Di setiap lokasi, saya melihat sendiri bagaimana jentera akar umbi bekerja tanpa henti turun rumah ke rumah, memberi penerangan yang jelas kepada pengundi, dan mendengar isu rakyat dengan hati yang terbuka.
“Inilah wajah sebenar Barisan Nasional bekerja dalam sunyi, berkhidmat tanpa perlu menunggu musim pilihan raya, dan sentiasa setia dengan perjuangan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu lagi.
Jelasnya lagi, sambutan rakyat pula sangat positif, lebih-lebih lagi apabila mereka mengetahui bahawa calon BN DUN N09 Tempasuk, Azuwan Marjan @ Norjan merupakan calon baharu yang mewakili generasi muda.

“….berwibawa, berjiwa rakyat dan membawa semangat pembaharuan untuk masa depan Tempasuk. Ramai menyuarakan keyakinan bahawa BN tetap parti paling stabil dan berpengalaman untuk mengangkat pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Seterusnya kata Mohd Jafni, insya-Allah dengan gabungan kekuatan jentera UMNO Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi dan UMNO Sabah, kita akan pastikan Tempasuk kembali menjadi kubu Barisan Nasional.
“Kita turun sebagai satu keluarga politik, satu semangat dan satu matlamat demi masa depan rakyat Sabah. Radu tetap radu. Kita bikin balik Sabah!” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada hari ini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon muka baharu. – UMNO ONLINE
