Majoriti Kaum Murut Sokong BN, Rahmah Jan Tekad Bekerja Sehabis Baik
TENOM, 25 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Udangan Negeri (DUN) Kemabong Datuk Rahmah Jan Sulaiman berkata majoriti kaum Murut yang berada di kawasan itu menyokongnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.
Rahmah Jan dalam satu temubual eksklusif bersama UMNO Online berkata, mereka tidak melihat kepada isu perkauman tetapi lebih melihat kepada siapakah yang lebih membela kepentingan dan kebajikan mereka.

“Majoriti di sini orang Murut tetapi syukur kepada Allah, mereka tidak melihat kepada perkauman dan agama tetapi melihat siapa pemimpin yang selalu turun ke bawah, menyantuni akar umbi dan pemimpin yang boleh membela nasib mereka.
“Mereka memberi sokongan kepada saya walaupun bukan orang Murut tetapi saya berasal daripada Tenom. Mereka berkata kepada saya, bukan suku kaum yang bekerja, yang bekerja pemimpin dan kalaupun pemimpin daripada kalangan mereka tetapi sekarang tengok perubahan apa yang ada di Kemabong sedangkan Kemabong ini memerlukan banyak pembangunan, komuniti servis pun kurang dan pelbagai lagi.
“Alhamdulillah saya harap pengundi di N.43 Kemabong ini bijak memilih. Sekaranglah masa mereka buat pilihan. Jangan tunggu lagi,” katanya lagi.
Justeru itu, Rahmah Jan bertekad bekerja dengan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat jika dipilih pada 29 November kelak.
“Insya-Allah jika diberi peluang dan menang, saya berikrar akan membuat kerja dengan sepantas mungkin menyelesaikan masalah rakyat yang telah ada di dalam manifesto saya.
“Kepada para pengundi di N.43 Kemabong, tidak mengira bangsa, kaum, agama, muda dan semua pilihlah Barisan Nasional untuk kesejahteraan dan bersama membuat satu perubahan. Terima kasih diucapkan kepada semua pengundi dan berilah kepercayaan kali ini kepada Barisan Nasional,” katanya lagi.
Antara teras yang terangkum dalam manifesto Rahmah Jan adalah seperti menyelesaikan masalah tiga serangkai – air, elektrik dan jalan, memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak, menjadikan Kemabong sebagai daerah penuh dan menaikkan industri pelancongan.
Selanjutnya ujar Rahmah Jan, sepanjang tempoh kempen, selain dengan jadual yang padat, sokongan rakyat dan dokongan jentera amat beliau hargai.

“Alhamdulilah sokongan untuk Barisan Nasional pada masa ini di kawasan Kemabong memang sangat-sangat baik. Kita telah menyantuni rakyat sebab kita sudah buat kerja awal hampir tiga tahun lalu.
“Jadi sekarang saya sedang menyantuni rakyat dan rata-rata rakyat mahu perubahan dan mereka rindu zaman Barisan Nasional,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada hari ini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE
