Erwan Palette Calon Muda, Mohamed Nazri Yakin Rakyat Balung Undi BN
BALUNG, 25 Nov – Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihati calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Erwan Palette, agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti dan tidak sesekali tunduk kepada cubaan rasuah atau tawaran meninggalkan parti.
Menurutnya, setiap pemimpin perlu sentiasa mengingati wajah dan harapan masyarakat yang memilih mereka sebagai wakil kerana amanah yang diberikan bukan satu perkara yang boleh diperdagang atau dipermainkan.

“Saya berpesan kepada calon BN bagi DUN Balung, Erwan Palette, peganglah fahaman ini dan lihatlah penduduk kampung yang juga para pengundi di sini.
“Jika ada pihak cuba menawarkan rasuah untuk meninggalkan parti, ingatlah wajah setiap pengundi yang meletakkan harapan begitu tinggi,” katanya ketika berucap pada program di Kampung Checkpoint, Balung, malam tadi.
Menurutnya, beliau yakin dengan keikhlasan dan semangat yang ditunjukkan Erwan, walaupun calon muda itu pasti akan berasa gementar menjelang hari pengundian pada 29 November ini.
“Tapi jangan bimbang, masyarakat DUN Balung berada di belakang kamu,” ujarnya.
Beliau menyuarakan keyakinannya terhadap calon BN DUN Balung, Erwan Palette, yang beliau sifatkan sebagai pemimpin muda berani, ikhlas dan bersih daripada sebarang kontroversi.
Menurut Mohamed Nazri, walaupun calon muda itu pasti berasa gementar menjelang hari pengundian pada 29 November ini, beliau yakin masyarakat DUN Balung akan memberikan sokongan padu.
“Tapi jangan bimbang, masyarakat DUN Balung berada di belakang kamu,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Erwan berbeza dengan segelintir bekas wakil rakyat terdahulu yang didakwa menerima habuan besar sehingga sanggup meninggalkan akar umbi dan pengundi di kawasan ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kalabakan, Rushamizan Rustam, serta para pengundi dari Kampung Checkpoint.

Mengulas mengenai kehadiran jentera parti, Mohamed Nazri berkata beliau melihat sendiri kesungguhan jentera Wanita UMNO yang tidak pernah jemu turun padang untuk menyampaikan mesej perjuangan parti kepada setiap pengundi.
Beliau menekankan bahawa golongan wanita sentiasa menjadi tulang belakang yang setia, manakala golongan muda digerakkan untuk berbakti demi masa depan parti.
“Kami ingin memastikan dan berjuang demi kepentingan parti. Ini bukan sekadar kempen, tetapi usaha bersama untuk memastikan kestabilan politik dan pembangunan setempat dapat dicapai,” katanya.
Beliau menambah bahawa keterlibatan anak muda yang semakin aktif merupakan perkembangan positif yang mampu memberi tenaga baharu kepada jentera BN di peringkat akar umbi.
“Anak-anak muda hari ini bukan lagi sekadar pemerhati. Mereka mahu terlibat langsung dalam menentukan masa depan negeri. Di Balung, kita dapat lihat gelombang sokongan itu semakin kuat. Dengan momentum yang kian meningkat, DUN Balung berpotensi menjadi salah satu kubu penting BN dalam pilihan raya kali ini,” ujarnya.
Kerusi DUN N.67 Balung mencatatkan penyertaan 11 calon bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini. – UMNO Online
