Agenda Pembangunan Anak Muda Antara Keutamaan BN, Termasuk TVET – Arthur

PENSIANGAN, 25 Nov – Presiden PBRS yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata agenda pembangunan anak muda antara keutamaan parti.

Ujar Ahli Parlimen Pensiangan itu, semua pihak perlu membina masa depan negara dan disebabkan itu, ia memerlukan satu pelaburan yang besar terhadap kepentingan golongan muda.

“Dalam manifesto, saya memberi keutamaan untuk memberi latihan, mengutamakan pendidikan yang baik dan memberikan peluang pekerjaan termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Saya selaku timbalan menteri dalam kementerian pertanian, kita juga menawarkan peluang dalam TVET pertanian di mana kita membantu untuk memberikan kursus, latihan di peringkat sijil kemahiran sehingga ke diploma,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Seterusnya ujar Arthur, produk TVET mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan ia juga merupakan satu pilihan kerjaya yang sangat lumayan.

“…dan kita mahu supaya pilihan ini juga boleh ditawarkan kepada anak-anak muda yang berada di kawasan luar bandar supaya mereka tidak ketinggalan dan tercicir daripada menerima kebaikan daripada kerjaya ini,” katanya lagi.

Melihatkan perkara tersebut jelasnya, BN sangat serius apabila membicarakan soal pembangunan anak muda.

“Kita telah meletakkan 80 peratus muka baharu sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17 ini. Maka sekiranya kita ingin melihat masa depan anak muda yang lebih cemerlang, undilah Barisan Nasional dan kita bagi jaminan masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Pada PRN Sabah Ke-17 ini, Arthur menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan N.45 Sook kerana katanya banyak masalah rakyat antaranya seperti isu bekalan air dan hal ehwal tanah melibatkan pewartaan kampung tidak dapat diselesaikan akibat berlainan punca kuasa yang berada di bawah kawalan kerajaan negeri.

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, beliau berkata perlu berada dalam DUN supaya boleh mengambil peranan untuk menyelesaikan masalah keperluan asas rakyat itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada hari ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO