Zaini Janji Hidupkan Semula Semangat Belia Dan Sukan Di Sungai Manila

SANDAKAN, 24 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, Zaini Tiksun, menegaskan komitmennya untuk memperkasakan golongan belia sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Beliau berkata, belia perlu diberikan ruang dan kemudahan untuk mengembangkan potensi mereka dalam bidang sukan, rekreasi dan kepimpinan komuniti sesuatu yang semakin kurang diberi perhatian di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita memang ada perancangan, insya-Allah jika diberikan kepercayaan oleh rakyat, kita akan wujudkan pusat belia serta kompleks sukan yang dilengkapi padang bola sepak, futsal dan kemudahan rekreasi.

“Dahulu kawasan ini pernah melahirkan ramai pemain bola sepak berbakat, tetapi hari ini padang bola pun sudah tiada. Kita mahu hidupkan semula semangat belia dan sukan di Sungai Manila,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama calon BN Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir serta calon BN Karamunting, Datuk Chin Kim Hiung mengadakan walkabout sekitar Pekan Batu 8 dekat sini.

Menurut Zaini lagi, penglibatan aktif belia dalam aktiviti sihat dan berfaedah bukan sahaja membina disiplin diri, tetapi turut menjadi asas kepada pembentukan masyarakat harmoni dan sejahtera.

Dalam masa sama, beliau menyatakan rasa syukur terhadap sambutan baik masyarakat sepanjang minggu terakhir kempen.

“Alhamdulillah, sokongan yang diterima sangat positif. Ramai anak muda dan pelbagai peringkat umur lain menunjukkan minat untuk bersama BN dan mahu melihat perubahan sebenar di Sungai Manila.

“Jika momentum ini dapat dikekalkan hingga ke hari pengundian, insya-Allah peluang kita cerah,” ujarnya.

Zaini turut mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah atau fitnah yang disebarkan pihak lawan menjelang hari-hari terakhir kempen.

“Kita sudah jelaskan kepada pengundi bahawa banyak isu yang dimainkan itu tidak benar. Rakyat semakin matang dan faham perjuangan BN yang sebenar,” katanya.

Beliau berharap, semangat dan aspirasi belia yang menjadi tulang belakang pembangunan kawasan itu akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan padu kepada BN pada 29 November ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO