PRN Sabah: Penerimaan Pengundi Semakin Positif, Rekod Kewibawaan BN Jadi Bukti

PAPAR, 24 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menyifatkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini berlangsung dalam suasana yang meriah dan penuh keunikan tersendiri, meskipun melibatkan banyak parti yang bertanding.

Menurutnya, keadaan politik di Sabah memperlihatkan suasana kekeluargaan yang tinggi walaupun wujud perbezaan pilihan parti dalam satu keluarga.

“Di Sabah, ayah boleh berada di Barisan Nasional (BN), ibu di GRS dan anak pula di Warisan. Namun semangat kekeluargaan tetap kuat dan kita tidak melihat insiden yang memecah-belahkan hubungan itu. Inilah keunikan Sabah, namun apapun, kita dalam BN mahukan sokongan terus kepada parti kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pilihan raya tetap memerlukan kesungguhan hingga ke penghujung kempen, terutama dalam mempertahankan sokongan akar umbi serta menarik perhatian pengundi muda, termasuk mereka yang pertama kali mengundi.

Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Papar berkata UMNO merupakan satu-satunya parti yang menampilkan lebih 80 peratus calon muka baharu pada PRN kali ini, termasuk di kawasan Papar.

“Walaupun baharu sebagai calon, mereka sudah lama dikenali sebagai pemimpin masyarakat yang aktif menyumbang bakti.

“Kita tidak berhadapan masalah untuk mempromosikan calon di Papar. Mereka mungkin calon baru, tetapi bukanlah asing bagi masyarakat kerana banyak kerja amal dan sumbangan yang telah mereka lakukan. Pengundi di Papar memang mengenali kewibawaan mereka,” katanya.

Beliau menambah bahawa UMNO berjaya membuktikan kemampuan menampilkan calon yang berintegriti, berpengalaman dalam komuniti, dan mampu membawa aspirasi baharu untuk rakyat.

Mengulas perkembangan sepanjang minggu pertama berkempen, Datuk Rosnah berkata penerimaan masyarakat Papar terhadap calon BN amat memberangsangkan.

“Mereka ingin melihat perubahan dan sentuhan baharu. Mereka tahu keupayaan dan rekod pentadbiran Barisan Nasional. Apa yang kita lihat, sokongan dan penerimaan masyarakat sangat positif,” katanya.

Menurut beliau lagi, pengundi Papar mahu melihat kewibawaan BN dikembalikan dan percaya calon-calon yang diketengahkan mampu mengulangi sejarah kegemilangan parti itu di Sabah.

“InsyaAllah, dengan mandat rakyat, kita ingin membawa kembali sejarah kejayaan BN di Sabah. Aspirasi masyarakat itu kita angkat sebagai pegangan untuk memastikan Sabah kembali dibangunkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO