Manifesto BN Sabah Bukan Sekadar Janji, Tapi Realistik – Hang Tuah
KALABAKAN, 24 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din menzahirkan penghargaan kepada yang merangka manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Jelas beliau, penyusunan manifesto BN yang mengandungi enam teras utama dan 30 inisiatif itu merangkumi semua keperluan rakyat Sabah.
Katanya, manifesto BN untuk Sabah bukan sekadar janji kosong, sebaliknya realistik dan mampu dilaksanakan sekiranya rakyat memberi mandat kepada parti ini.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang terlibat dalam merangka manifesto BN. Manifesto ini dibina dengan teliti, mengandungi enam teras utama serta 30 inisiatif yang menyeluruh, yang merangkumi hampir semua aspek keperluan rakyat Sabah. Ia bukan sekadar dokumen janji-janji politik, tetapi satu pelan tindakan yang jelas untuk memastikan pembangunan, kesejahteraan, dan kemajuan negeri ini terus dipacu.
“Saya harap rakyat negeri Sabah dapat melihat secara jelas dan tuntas manifesto yang dibawa oleh BN. Model manifesto BN ini bukannya manifesto ‘retorik’, ianya boleh dilaksanakan sekiranya rakyat memberi mandat pada BN.
“BN boleh kembali memerintah Sabah ini dan sudah pasti boleh melaksanakan manifesto itu kerana BN tidak seperti parti lain yang hanya mampu berjanji dan tidak melaksanakan. BN letakkan manifesto ini yang mana manifesto tersebut dan kita tahu boleh laksanakan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gopeng berkata, keikhlasan jentera BN jelas terserlah dalam setiap program yang diadakan, menunjukkan semangat dan kesungguhan mereka untuk membantu calon BN menawan hati pengundi Sabah.
“Saya cukup gembira dengan jentera BN yang ada khususnya di Sabah, negeri-negeri lain hanya membantu tetapi jentera Sabah ini nampak begitu komited. Keikhlasan mereka (jentera) jelas terpancar pada setiap kali program-program yang diadakan dan begitu teruja untuk membantu calon dari BN bagi memenangi Sabah.
“Ia bukan sahaja pengundi yang mahukan BN kembali menerajui negeri, malah pengundi-pengundi juga mahukan BN kembali berkuasa di Sabah. Mereka terlalu rindu dengan BN. Apabila berjumpa pengundi Sabah, mereka akan bertanya tentang bekas Perdana Menteri, Najib Razak atau lebih dikenali sebagai ‘Bossku’.
“Apabila menyebut Bossku, pengundi Sabah ‘meleleh air mata’ mereka. Ini jelas dan nyata bahawa mereka mahukan BN kembali mentadbir Sabah kerana mereka tahu hanya BN yang menjaga kebajikan rakyat,” katanya lagi.
Pada masa sama beliau melihat pendekatan BN yang menampilkan majoriti muka baharu membuktikan komitmen parti itu untuk membawa pembaharuan dan memastikan kepimpinan negeri Sabah terus berkembang dengan lebih dinamik.
“Rakyat Sabah menyambut baik dan teruja dengan calon-calon baharu yang diketengahkan oleh BN pada PRN kali ini. Kalau lihat pada parti-parti lain, banyak parti meletakkan calon-calon ‘recycle’ ataupun calon-calon lama, walhal 80 peratus calon-calon BN adalah muka baharu.
“Calon baharu BN adalah muka-muka yang ‘fresh’ dan tahu boleh mendatangkan hasil yang baik dalam pimpinan negeri Sabah pada masa depan,” ujarnya.
Beliau turut optimis bahawa keterbukaan BN dalam memperkenalkan generasi pemimpin baru akan menjadi faktor penting dalam menarik sokongan pengundi, terutama golongan muda yang mahukan perubahan serta pentadbiran yang lebih progresif. – UMNO Online
