Manifesto BN Angkat TVET Sabah, Beri Peluang Kerjaya Anak Muda – Shah Zanuriman
LAHAD DATU, 24 Nov – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan baru-baru ini diyakini mampu memberi suntikan baharu kepada pembangunan modal insan di Sabah, khususnya golongan anak muda yang mendambakan peluang pendidikan, latihan serta kerjaya.
Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, manifesto tersebut dirangka secara komprehensif bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat, termasuk mereka yang ingin melanjutkan pendidikan dan memperkukuh kemahiran melalui program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurutnya, TVET bukan sekadar sebuah program latihan, tetapi telah diperkasakan secara besar-besaran di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Sabah menerima keistimewaan tersendiri melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan serta pihak swasta.
“Di Sabah, TVET akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menempatkan anak-anak muda yang ramai antaranya masih belum bekerja ke dalam pelbagai sektor industri. Ini membuka ruang pekerjaan yang lebih luas dan realistik.
“Kita menjangkakan industri TVET akan menyumbang peningkatan hasil dalam negara dan menyumbang kepada faktor-faktor untuk mengelakkan kadar pengangguran dan penekanan untuk anak-anak muda sangat dititikberatkan.
“Manifesto BN anak-anak muda juga termasuk dalam dana perniagaan yang bakal membantu kehidupan mereka di masa akan datang. Bagi Sabah, jurang kehidupan terlalu tinggi maka anak-anak muda harus mengambil kesempatan dalam TVET dan seterusnya mengundi BN pada PRN ini,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang menjelaskan ramai anak-anak muda di Sabah yang kehidupan mereka dibawah B40, dan tidak ramai golongan mereka yang berada di M40.
“Dana-dana yang disediakan oleh BN terutamanya golongan B40 yang kemiskinan kehidupannya berbanding dengan golong M40. Kali ini BN betul-betul mengambil serius untuk mengambil alih negeri Sabah dan membuktikan yang parti ini bukan sekadar ‘cakap kosong’.
“Bukan itu saja, BN turut mewujudkan program peneroka muda, mewujudkan koperasi usahawan, dana khas membangunkan hub-sukan anak-anak muda sekiranya anak-anak muda terus memberi kepercayaan pada BN,” jelasnya.
Kata beliau lagi, hanya kerajaan yang stabil dan berpengalaman mampu mengembalikan semula momentum pembangunan negeri itu selepas beberapa projek terbantut akibat perubahan politik sebelum ini.
“BN adalah satu-satunya parti yang mampu mengubah nasib Sabah, terutamanya anak-anak muda yang sentiasa berada didalam kesempitan hidup dan dibelenggu peluang pekerjaan.
“Banyak perkara yang tertangguh dulu akan diteruskan sekiranya BN kembali memerintah Sabah. Implikasi dalam negeri ini banyak pembangunan telah terencat hendak dibangunkan kerana hilangnya kuasa politik BN,” jelasnya lagi. – UMNO Online
