MyGiG Chapter Sabah Dilancar, Platform Baharu Bantu Penggiat Ekonomi GiG – Sharkar
SANDAKAN, 23 Nov – Penubuhan MyGiG menyediakan platform rasmi untuk komuniti terlibat meluahkan permasalahan serta membawa isu berkaitan ke peringkat lebih tinggi termasuk Kerajaan Pusat, kata Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia, (MyGig) Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Beliau berkata kewujudan platform itu memberi peluang kepada ahlinya mengemukakan apa-apa isu secara tersusun, sekali gus membolehkan tindakan diambil oleh pihak majlis berdasarkan keperluan semasa.
“Alhamdulillah…kita baru sahaja selesai melancarkan Majlis Ekonomi GiG Malaysia Chapter Sabah. Ini adalah merupakan chapter pertama untuk negeri. Dan kita ucap terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana meluangkan masa dapat berjumpa dengan rakan-rakan kita di sini. Alhamdulillah sekarang ini maknanya MyGiG ini, mereka mempunyai platform yang rasmi untuk mereka meluahkan apa-apa.
“Penubuhan ini merupakan tanggungjawab kita kepada mereka yang selama ini tidak mempunyai satu platform bersama untuk mengemukakan permasalahan. Dengan adanya MyGiG, mereka kini diberikan perhatian dan sekiranya ada apa-apa isu, mereka boleh bangkitkan dalam majlis dan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Mohd Sharkar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas sokongan terhadap penubuhan MyGiG.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah kerana memberikan sokongan ke arah penubuhan ini. Insya-Allah, kita akan bergerak dan memastikan pembelaan yang kita janjikan seperti yang disebut oleh Menteri Besar Pahang tadi dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan Suruhanjaya GiG Ekonomi Malaysia dapat direalisasikan demi kepentingan masyarakat yang terlibat dalam ekosistem tersebut. – UMNO Online
