“MyGiG Bukan Sekadar Nama, Tapi Suara Rakyat” – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Penasihat Khas bagi Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MPUPK), menegaskan bahawa penubuhan Majlis Pekerja dan Penggiat Ekonomi (MyGiG)  merupakan bukti nyata komitmen kerajaan dalam membela nasib golongan pekerja sendiri dan penggiat ekonomi negara.

Dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Majlis Ekonomi GiG Malaysia Chapter Sabah di Sandakan semalam, Wan Rosdy menyatakan rasa syukur atas kejayaan menubuhkan MyGiG, yang menurutnya menjadi platform rasmi untuk kelompok pekerja dan penggiat ekonomi membawa suara serta permasalahan mereka secara tersusun kepada pihak berwajib.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Apa yang kita lakukan hari ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita kepada mereka yang selama ini tidak mempunyai platform untuk bersuara. Dengan adanya MyGiG, mereka kini mempunyai perlindungan, perhatian serta ruang untuk membawa apa sahaja permasalahan  dan kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Turut serta Pengerusi Majlis Ekonomi GiG Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin serta penggiat GiG Ekonomi sekitar Sandakan. Lebih 200 hadir bagi menjayakan pelancaran Chapter Sabah.

Wan Rosdy seterusnya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin serta barisan jawatankuasa yang lain atas kepimpinan dan komitmen masing-masing dalam memperjuangkan kepentingan kelompok pekerja dan penggiat ekonomi, serta menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas ilham dan pandangan jauh beliau yang mengarahkan pelaksanaan inisiatif ini.

“Kalau Datuk Seri Sharkar sambil lewa, tidak ambil berat, atau memilih untuk menangguhkan kerja ini, nescaya usaha ini tak akan menjadi. Namun beliau bergerak pantas, fokus dan berdisiplin sehingga berjaya menjadikan MyGiG  satu realiti,” ujarnya.

Menurut beliau, penubuhan MyGiG bukan tugas mudah kerana ia melibatkan pelbagai proses termasuk penggubalan dasar, perundangan, dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan manfaatnya sampai terus kepada rakyat.

Wan Rosdy menegaskan bahawa kerajaan dan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited untuk menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan pekerja sendiri dan usahawan mikro. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO