‘Mood’ Pengundi Kuala Penyu Semakin Positif, BN Terus Perhebat Kempen

BEAUFORT, 23 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Lakat, terus memperkukuh gerak kerja kempen memasuki minggu kedua Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan pendekatan menyeluruh meliputi Pusat Daerah Mengundi (PDM), kampung serta rumah-rumah penduduk.

Menurutnya, minggu pertama kempen telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan penyantunan masyarakat di setiap PDM dan kawasan sekitar daerah Klias, manakala fasa kedua ini memberi tumpuan kepada peluasan program bersama pengundi secara lebih dekat.

“Setakat ini Alhamdulillah, minggu pertama kita telah bergerak menyantuni PDM-PDM serta masyarakat. Untuk fasa kedua, kita akan melibatkan lebih ramai rakan usaha. Kalau boleh saya mahu pergi ke semua kawasan, cuma dengan 22,000 pengundi, kita perlu mekanisme kempen yang tersusun,” katanya kepada UMNO Online.

Awang Aslee berkata, selain ceramah di PDM, jentera BN turut bergerak dari rumah ke rumah terutama bagi menziarahi warga emas, golongan uzur dan penduduk yang memerlukan perhatian, sambil menerangkan kepentingan memilih BN.

Beliau turut menjelaskan bahawa jentera parti memainkan peranan penting dalam memastikan risalah dan mesej BN sampai ke semua lapisan penduduk.

“Jentera kita bergerak aktif di semua PDM terutama di DUN ini. Mereka mengedarkan ‘flyers’ rumah ke rumah untuk memastikan misi BN diketengahkan menjelang pilihan raya ke-17 ini,” jelasnya.

“Selain program kempen biasa, BN Kuala Penyu turut menggerakkan badan dakwah setiap malam. Usaha digandakan dari pagi hingga malam kerana kita mahu menang,” katanya.

Mengulas mood pengundi, Awang Aslee mengakui sambutan masyarakat Kuala Penyu terhadap BN kali ini amat memberangsangkan.

“Terus terang, saya sudah melalui banyak pilihan raya. Jika dibandingkan dengan sebelum ini, mood pengundi kali ini jelas menunjukkan mereka rindukan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kehadiran masyarakat kini lebih meluas, tidak lagi terhad kepada jentera semata-mata.

“Kalau kita buat program di PDM, bukan jentera saja yang datang tetapi orang kampung turut hadir. Di masjid dan surau juga ramai memberikan sokongan. Mereka menyatakan harapan kepada BN.”

Dalam kesempatan ini, Awang Aslee menyeru semua pengundi di DUN Kuala Penyu untuk memberikan kepercayaan kepada BN pada PRN kali ini.

“Saya merayu kepada semua pengundi, undilah saya dan undilah Barisan Nasional. Pembangunan Kuala Penyu hari ini adalah hasil kerajaan BN yang terdahulu. Radu tetap rafu, radu sampai menang,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO