Manifesto BN Sabah Realistik, Tersusun Dan Berani Akui Prioriti Negeri – Haryaty
KOTA KINABALU, 23 Nov – Manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang diumumkan adalah realistik, tersusun dan berani mengakui prioriti negeri itu, kata Exco Wanita UMNO Malaysia Datuk Haryaty Hamdzah.
Menurutnya, ia menandakan satu perkara penting iaitu Barisan Nasional (BN) tidak lagi hanya bercakap tentang penyelesaian, tetapi komited untuk mengambil alih tanggungjawab membaiki kerosakan yang dibiarkan berlarutan.

“‘Bikin Balik Sabah’ bukan retorik politik, ia adalah pengakuan bahawa Sabah berhak kepada pentadbiran yang cekap, bukan alasan demi alasan.
“Sabah tidak boleh terus berada dalam kitaran janji manis tanpa hasil. Jalan raya yang membahayakan, air yang tidak terjamin, bekalan elektrik yang kerap terganggu, capaian digital yang tidak setara – semuanya adalah wajah sebenar kegagalan struktur.
“Manifesto BN kali ini mengangkat empat isu asas ini sebagai keutamaan,” kata Haryaty yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Melaka dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pagi semalam, beliau bersama kepimpinan parti turut hadir ke majlis pelancaran manifesto tersebut di Bangunan UMNO Negeri Sabah di sini.
Seterusnya, Haryaty menyokong keberanian politik dalam cadangan menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah.
“Ini bukan kosmetik, tetapi strategi pentadbiran. Wanita Sabah menyumbang pada ekonomi dan kestabilan sosial, namun masih berada dalam kelompok paling terdedah terhadap jurang pembangunan.
“Memberikan portfolio ini kepada seorang Menteri ‘Wanita’ adalah langkah yang tepat; hanya yang memahami cabaran wanita mampu membina polisi yang melindungi mereka.
“Begitu juga inisiatif i-Suri RM600 dan Skim Sayangi Wanita untuk pemeriksaan kesihatan percuma. Ia mencerminkan kesedaran bahawa wanita Sabah adalah nadi ekonomi rumah tangga. Setiap ringgit bantuan, setiap akses kesihatan, adalah pelaburan kepada kesejahteraan seluruh keluarga,” katanya.
Selain itu, Haryaty juga menyokong inisiatif Satu Negara Satu Harga yang terkandung dalam dokumen RPS1 itu.
“Sudah terlalu lama rakyat Sabah dipaksa membayar lebih mahal hanya kerana rantaian logistik yang tidak cekap.
“Pemodenan Pelabuhan Sepanggar sebagai hab transshipment adalah keputusan strategik yang akan merombak ekosistem logistik negeri ini. Ia bukan sekadar projek infrastruktur; ia adalah prasyarat untuk keadilan harga dan pemangkin pertumbuhan ekonomi Sabah,” katanya.
Jelasnya lagi, jika RPS1 dilaksanakan dengan ketegasan, integriti dan kepimpinan yang stabil, Sabah akhirnya boleh keluar dari kelemahan lama dan masuk ke era pembangunan yang lebih bermaruah.
“Malah boleh bersaing sama tinggi dan bergandingan dengan Sarawak! Sabah tidak memerlukan janji baharu.
“Sabah memerlukan tindakan. Dan RPS1 adalah permulaan tindakan itu,” katanya. – UMNO ONLINE
