BN Amal Politik Matang, Pihak Lawan Guna Taktik Lama Sebar Persepsi – Rosnah

PAPAR, 23 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menegaskan bahawa serangan terhadap Barisan Nasional (BN) oleh pihak lawan apabila berkempen dalam pilihan raya bukanlah perkara baharu, sebaliknya taktikal lama yang terus digunakan untuk memburukkan imej BN di mata rakyat.

Beliau berkata, pihak lawan kini mula menyerang peribadi pemimpin BN serta cuba menyalahkan BN atas kegagalan kerajaan, walaupun mereka sendiri pernah diberi peluang untuk mentadbir.

Jelasnya, strategi sedemikian sudah lama menjadi pendekatan pihak lawan untuk mewujudkan persepsi kononnya BN adalah punca segala masalah.

“Ini adalah pendekatan mereka sejak dahulu lagi. Mereka cuba gambarkan kitalah yang salah, kitalah yang terburuk dan mereka yang terbaik. Sedangkan kita tidak pernah meninggalkan mereka, tetapi merekalah yang meninggalkan kita. Rakyat Sabah tahu menilai yang mana emas dan yang mana kaca.

“Namun begitu, manipulasi dan penyebaran dakwaan tidak benar bukan lagi mampu mempengaruhi rakyat, khususnya di kawasan Papar, kerana masyarakat kini semakin matang dalam menilai,” katanya.

Rosnah menegaskan bahawa BN sentiasa mengamalkan politik matang, malah dalam siri kempen PRN Sabah, parti itu tidak sesekali menyerang peribadi mana-mana pihak.

Katanya, masyarakat kini tidak lagi menerima politik retorik, fitnah atau penghinaan, sebaliknya lebih tertarik kepada tawaran masa depan yang jelas serta berfakta.

Berkaitan dengan penglibatan sepanjang kempen PRN Sabah, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Papar turut memastikan jentera wanita BN yang berada di barisan hadapan kempen sentiasa membawa pendekatan positif, menekankan aspek pencapaian, rekod perkhidmatan dan kredibiliti BN kepada pengundi.

“Masyarakat mahu melihat apa yang kita mampu tawarkan kepada mereka. Saya menekankan kepada jentera wanita untuk berkempen dengan positif, tidak menyerang peribadi sesiapa tetapi membawa mesej yang matang dan membina,” ujarnya.

Dengan tempoh kempen yang berbaki kurang daripada seminggu, beliau mengingatkan jentera agar terus mengamalkan kempen secara sihat dan berhemah kerana selepas pilihan raya, masyarakat tetap akan kembali hidup bersama sebagai satu komuniti.

Rosnah turut menyeru masyarakat agar terus menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, terutama kepada anak-anak dan cucu, kerana nilai inilah yang menjadi asas kepada usaha BN untuk membangunkan Sabah.

“Apabila berakhirnya pilihan raya, mereka tetap ahli keluarga kita. Teruskan dengan kempen yang sihat dan matang.

“Nilai murni membawa kejayaan. Dengan nilai, kredibiliti dan keupayaan yang kita ada, kita akan terus membina negeri ini menjadi yang terbaik. Inilah usaha kita untuk ‘Bikin Balik Sabah’, Insya-Allah,” katanya lagi.

Di Papar BN meletakkan dua calon iaitu di N.28 Kawang melibatkan Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Jamal Norubi dan di N.29 Pantai Manis iaitu Redzuan Ismail @ Gari. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO