Semangat Rakyat Sabah Bukti Masa Depan Negeri Ini Cerah – Ahmad Zahid
LIBARAN, 22 Nov — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan komitmen beliau untuk memperkukuh pembangunan luar bandar Sabah dalam usaha memastikan pembangunan menyeluruh untuk keselesaan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah seterusya berkata wakil rakyat yang baik ialah mereka yang memberikan keyakinan dan harapan kepada rakyat, membawa perubahan di kawasan masing-masing, dan lahir daripada calon-calon Barisan Nasional (BN) yang teruji, berpengalaman serta bertanggungjawab.
“Inilah kebenaran. Inilah pilihan yang tepat. Kita mesti bersatu. Kita mesti melangkah bersama supaya masa depan negeri kita menjadi lebih stabil, lebih maju dan lebih terjamin,” katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid melahirkan rasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh ibu bapa para pelajar yang memberikan sokongan padu terhadap Tabika Kemas di bahagian Libaran dan memperlihatkan usaha memperkasa Tabika Kemas memberi lonjakan yang terbaik.
“Saya sangat teruja apabila tiba di Dewan Masyarakat Bandar Sibuga Jaya sebentar tadi. Sambutan urang-urang Sandakan yang cukup mesra membuatkan saya berasa dekat dengan semua yang hadir.
“Saya difahamkan bahawa ibu bapa dan anak-anak ini sudah berada di dewan sejak awal lagi lagi bagi sambutan Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Libaran. Melihat mereka kekal bersemangat hingga ke akhir program membuatkan saya semakin kagum dengan orang Sandakan. Memang hebat.
“Semangat beginilah yang menguatkan lagi keyakinan saya bahawa Sandakan dan seluruh Sabah ini mempunyai masa depan yang sangat cerah. Insya-Allah, dengan usaha yang berterusan dan sokongan rakyat, kita akan mampu membawa lebih banyak perubahan baik untuk anak-anak dan keluarga di negeri ini,” ujarnya.
Terdahulu Ahmad Zahid merasmikan Hari Apreasi Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Libaran, dekat sini petang tadi.
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut meluangkan masa ke Kg. Gas, Batu Sapi untuk melihat bangunan baharu Tabika Kemas di kampung berkenaan.
“Apa yang sangat menyentuh hati saya ialah kisah anak-anak kecil di sini yang belajar lebih setahun di rumah Pembantu Pendidik Masyarakat kerana surau yang digunakan sebagai tabika di sini sedang dinaik taraf. Namun para guru tetap cekal mengajar tanpa mengeluh, memastikan pendidikan anak-anak tidak terhenti walau dalam apa keadaan sekali pun.
“Alhamdulillah, bangunan baharu ini kini siap sepenuhnya dan telah digunakan sejak dua minggu lalu. Inilah bukti bahawa usaha membawa pembangunan pendidikan ke akar umbi sedang dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan komitmen.
“Iltizam saya, selagi saya diberi amanah di KKDW, usaha memastikan rakyat Sabah mendapat pendidikan terbaik, kemudahan asas yang adil dan pembangunan yang seimbang akan sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya.- UMNO Online
