Rindu Zaman BN… Terbukti Rekod Jaga Kebajikan, Tingkat Pembangunan Sabah
KENINGAU, 22 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata berdasarkan pertemuan beliau bersama rakyat di lapangan, rata-rata meluahkan reaksi positif dan merindui zaman BN mentadbir negeri Sabah.
Rakyat ujarnya, telah membuat perbandingan dan penilaian dengan parti-parti lain yang telah memerintah dan ternyata mahu BN kembali memerintah atas faktor BN yang banyak menjaga kebajikan rakyat dan membawa pembangunan.

“Alhamdulillah, sambutan dari rakyat saya tengok mereka merindui zaman Barisan Nasional. Kita bagi perbandingan kebanyakan parti yang bertanding pada kali ini rata-rata sudah memerintah. Dan saya suruh mereka menilai di zaman pemerintahan manakah yang terbaik untuk rakyat.
“Ternyata Barisan Nasionallah yang banyak memberi dan menjaga kebajikan rakyat, yang banyak membawa pembangunan kepada negeri Sabah. Insya-Allah. Saya yakin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini Barisan Nasional akan bangkit semula,” katanya kepada UMNO Online.
Berdasarkan tinjauan UMNO Online ketika mengikut Nik Mohd Nadzri bertemu rakyat di Kampung Gaulan di sini, penduduk di kampung tersebut menerima sangat baik dan memberi sokongan penuh kepada beliau sebagai bakal wakil rakyat baharu di kawasan DUN Liawan.

Tambah Nik Mohd Nadzri lagi, sebelum ini rakyat termakan hasutan pihak lawan yang sering menuduh pelbagai gelaran negatif kepada BN.
“Isu yang dipermainkan sehinggalah kita kalah pada 2018 di mana kita dengar BN ini parti rasuah, makan duit rakyat, saya bertanyalah kepada masyarakat masa itu salah parti atau pemimpin, dan apabila jawapan yang diberi adalah pemimpin, saya suruh tengok balik di mana lebih kurang 80 peratus juga pemimpin yang memerintah zaman BN dulu dah pindah ke parti lain.
“Sekiranya mereka pilih juga parti yang lain itu, maknanya mereka masih mahu cara pemerintahan yang lama, cuma tukar baju tetapi pemimpinnya tetap sama.
“Kenapa tidak kita cuba dengan Barisan Nasional yang baru, yang mempunyai pemimpin-pemimpin baru dalam kepimpinan BN di Sabah ini,” jelas Ketua UMNO Bahagian Keningau itu lagi.
Tambahnya lagi, ini berbeza dengan BN yang menampilkan 80 peratus muka baharu dan menunjukkan betapa serius BN mahu ‘bikin balik Sabah’.
“Saya nampak bagaimana seriusnya BN Sabah untuk membentuk semula ‘bikin balik Sabah’ melalui pemimpin yang baru.
“…yang kita lihat betul-betul perjuangan yang sebenar di masa 2018 kita kehilangan kuasa, semua pemimpin yang kekal sekarang ini adalah pemimpin-pemimpin yang berjuang untuk menaikkan semula Barisan Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE
