Rahmah Jan Fokus Tujuh Agenda Untuk Kemabong

TENOM, 22 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong Datuk Rahmah Jan Sulaiman menampilkan tujuh agenda dalam manifestonya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.

Menurutnya, antara teras yang digariskan adalah menyelesaikan masalah tiga serangkai, memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak, menjadikan Kemabong sebagai daerah penuh dan menjadi hub pelancongan.

“Saya fokuskan tujuh dalam manifesto saya sendiri di Kemabong. Jalan raya lebih baik, kemudahan air, elektrik dan internet yang diperkukuhkan. Kemabong sebagai daerah penuh (sekarang masih daerah kecil), pendidikan berkualiti untuk semua dan perkasakan ekonomi luar bandar.

“Hub pelancongan baharu sebagai pemangkin ekonomi termasuklah melestarikan alam semula jadi, budaya dan produk tempatan sebagai tarikan pelancongan serta bantuan perumahan diperluaskan seperti Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan Program Perumahan Rakyat (PPR),” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini di kediamannya, di Kemabong, di sini.

Tekadnya, perkara pertama yang dilakukan jika diberi kepercayaan rakyat pada 29 November nanti adalah menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik dan kemudiannya jalan raya kerana percaya kebolehan dan rekod pencapaian BN sebagai solusi kepada perkara tersebut.

Berhubung dengan gerak kerja kempen, Rahmah Jan berkata komitmen jentera sangat baik daripada peringkat Bahagian hingga semua peringkat sayap bergerak dengan memainkan peranan masing-masing.

Seusai temu bual tersebut, UMNO Online turut berpeluang mengikuti Rahmah Jan menyantuni pengundi dalam Majlis Ramah Mesra di Rumah Kebudayaan Lalang di sini yang juga disertai Ketua UMNO Bahagian merangkap Pengarah Pilihan Raya DUN Kemabong Datuk Raimie Unggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon muka baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO