Penerimaan Pengundi Bugaya Terhadap BN Semakin Positif – Abdul Manan

BUGAYA, 22 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Abdul Manan Indanan, menegaskan penerimaan masyarakat terhadap parti itu sepanjang tempoh berkempen amat memberangsangkan.

Beliau berkata, kehadiran jentera BN di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) mendapat sambutan hangat daripada pengundi, menandakan sokongan yang positif untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya kali ini.

“Penerimaan BN selama berkempen diterima masyarakat Bugaya. Sambutan pengundi amat positif untuk memenangi pilihan raya kali ini dan saya telah menyantuni hampir semua PDM kawasan ini.

“Saya ada mendengar yang kononnya mana-mana calon yang bertanding di semua DUN di Semporna akan kalah tetapi dakwaan itu tidak berasas sama sekali. Pengundi muda di ketiga-tiga DUN ini begitu ramai dan mereka tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak lawan.

“Pengundi muda ada penilaian sendiri tentang yang mana perlu dibantu, disokong sebab sekarang ini BN berada dilandasan yang betul dan salah satu parti yang menerajui kerajaan persekutuan. Kita ‘maintain’ dengan tugas ini dan terus menyantuni mereka (pengundi) sehingga ke tarikh pengundian,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Abdul Manan yang juga Ketua UMNO Bahagian Semporna menjelaskan, kegoyahan yang berlaku dalam politik Sabah sebelum ini berpunca daripada tindakan segelintir pemimpin yang memilih untuk meninggalkan parti, sekali gus menjejaskan kestabilan dan hala tuju perjuangan.

“Sememangnya kerosakan yang berlaku di Sabah ini berpunca daripada tindakan pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu yang memilih untuk melarikan diri dan keluar daripada parti. Namun UMNO hari ini bangkit dengan tekad baharu untuk membetulkan segala kerosakan yang ditinggalkan dan mengembalikan maruah perjuangan demi rakyat Sabah.

“Yang tinggal sekarang ini adalah mereka yang benar-benar ‘genuine’, barisan baharu yang menerima hakikat bahawa UMNO ialah sebuah parti yang telah banyak berjasa kepada rakyat. Mereka inilah yang terus setia mempertahankan perjuangan, bukan kerana kepentingan peribadi, tetapi kerana percaya kepada tanggungjawab memulihkan semula Sabah dan mengangkat martabat rakyat,” ujarnya.

Seterusnya Abdul Manan menekankan kepentingan menyantuni pengundi dengan penuh hikmah dan kesungguhan sehingga ke saat akhir.

Beliau berkata, tidak seorang pun pengundi harus terlepas daripada perhatian jentera BN.

“Saya merayu kepada semua jentera agar terus bekerja tanpa mengira penat. Pengundi-pengundi harus disantuni dengan penuh hikmah dan kesungguhan hingga ke detik terakhir. Jangan biarkan seorang pun terlepas daripada perhatian kita.

“Ketika ini, momentum BN semakin kukuh dan ia adalah saat yang paling tepat untuk kita menguasai medan dan memastikan kemenangan menjadi milik kita. Inilah peluang untuk mengembalikan kestabilan, mengangkat suara rakyat, dan membuktikan BN tetap pilihan yang paling diyakini,” ujarnya.

Pada penamaan calon Sabtu lalu, Abdul Manan yang mewakili BN bagi DUN Bugaya berdepan saingan sembilan penjuru.

DUN Bugaya merupakan antara tiga DUN yang terletak di Parlimen Semporna selain Sulabayan dan Senallang.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke- 17 bagi negeri Sabah. Manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO