DUN Darau: Sokongan Rakyat Positif, Anak Muda Mahukan Perubahan – Arfanshah
SEPANGGAR, 22 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Arfanshah Abdul Gafar berkata beliau mendapat reaksi yang positif sepanjang bertemu rakyat di lapangan.
Katanya, dengan kerjasama padu daripada jentera BN Sepanggar, gerak kerja yang diatur berjalan dengan baik serta teratur bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.

“Alhamdulillah reaksi rakyat dari tempat yang kita pergi penerimaan baik, tiada lagi penolakan, pendekatan kita lebih kepada rumah ke rumah.
“Sokongan anak muda meyakinkan jika dilihat kepada sambutan program yang dianjurkan berkenaan dengan belia. Mereka juga menyatakan keinginan mahu melihat perubahan kerajaan negeri bila golongan muda diletakkan sebagai calon,” katanya kepada UMNO Online.
Arfanshah yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar ditemui selepas perlawanan persabahatan antara pasukan Pemuda UMNO Malaysia bertemu belia Sepanggar, di Kompleks Sukan Likas, di sini, Jumaat petang.
Hadir sama Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Akmal Saleh dan keputusan pertandingan tersebut memihak kepada belia Sepanggar dengan keputusan tiga berbalas kosong.
Seterusnya, Arfanshah juga mengakui amanah yang diberikan kepadanya merupakan satu tanggungjawab yang besar dan beliau tekad mahu memastikan kemenangan berpihak kepada parti.
Berhubung dengan mainan beberapa parti lawan yang lebih suka menimbulkan persepsi antara parti tempatan dan bukan, Arfanshah beranggapan rakyat kini semakin matang.

Masyarakat setempat ujarnya, lebih menilai hasil kerja dan jasa sesebuah parti yang mana lebih banyak membangunkan kawasan khususnya di DUN Darau dan juga Karambunai yang terletak dalam Parlimen Sepanggar.
“Rakyat mahukan pentadbiran yang lebih bagus berbanding sekarang ini. Sudah pasti bila kita tampilkan muka-muka baharu dan idea yang segar, ia menjadi tarikan kepada mereka,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakauan dan Kewangan dari Oxford Brookes University itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi serta menampilkan 80 peratus calon muka baharu. – UMNO ONLINE
