Sabah Ketinggalan Bukan Sebab Parti Lokal Atau Parti Malaya, Tapi Kegagalan Kepimpinan GRS
KOTA KINABALU, 21 Nov – Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa kemunduran Sabah bukan berpunca daripada pertembungan antara parti lokal atau parti Malaya, tetapi disebabkan kegagalan kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.
Beliau berkata, masalah asas seperti jalan raya rosak, bekalan elektrik tidak stabil dan krisis air yang berlarutan membuktikan bahawa kerajaan GRS tidak berupaya melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun sudah diberi mandat lima tahun.

“Kenapa Sabah masih termundur dan ketinggalan? Bukan kerana parti lokal atau parti Malaya tapi masalah kepimpinan. Dulu mereka yang dalam GRS ini pun dari parti Malaya, tapi mahu keuntungan maka lompat lagi… kemudian sekarang merayu lagi mahu diberi peluang tapi ‘no more second chance for GRS’ sebab kita fikir rakyat dan fikir negara kita. Negara merdeka tapi Sabah masih begini… jalan raya teruk, elektrik teruk, air teruk maka tidak masuk akal.
“Kita tak mahu YB yang hanya fikir diri sendiri. GRS kalau kalah, tidak menang maka mereka akan tubuh parti baru lagi, akan lompat parti lagi sebab sudah biasa lompat demi jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Malam Anak Muda Bangkit di Pantai Dalit, malam tadi. Turut bersama dalam program ini ialah calon BN di sini, Alfian Sambas.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menegaskan BN bersedia membawa perubahan menyeluruh di Sabah dan akan melancarkan satu tawaran pembangunan Sabah pada 22 November ini.
“Saya selaku pengerusi BN Sabah bersedia melakukan perubahan bukan saja di sini tapi perubahan itu harus dilakukan bersama.”
Ujarnya, tawaran itu termasuk inisiatif besar untuk anak muda seperti latihan TVET berstatus tinggi yang menjamin gaji permulaan sekurang-kurangnya RM4,000, skim rumah dengan deposit disediakan serta dana RM5,000 untuk memulakan perniagaan.

Beliau turut mengumumkan perancangan penubuhan koperasi usahawan muda di setiap kawasan sebagai usaha melonjakkan ekonomi belia secara mampan.
Mengulas peluang BN pada PRN kali ini, Bung Moktar menyatakan keyakinannya bahawa calon BN N13 Pantai Dalit, Alfian Sambas, akan diberi ruang dalam kabinet sekiranya BN kembali mentadbir.
“Apa perlu dibuat? Beri peluang BN menang. Alfian ini berkualiti, bertenaga maka jadikan impian ini realiti.”
Beliau menyeru jentera BN untuk terus bekerja sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan BN yang menurutnya mempunyai wawasan, hala tuju jelas dan keupayaan memajukan Sabah.
“Kalau mahu menang maka buat kerja mahu menang… perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan maka kayuhlah agar menang,” katanya lagi yang disambut laungan gemuruh anak muda di sini. – UMNO Online
