BN Jadi Harapan Rakyat, Perkasa Insfrastruktur Asas
TAWAU, 21 Nov – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan pengalaman Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri menjadi faktor utama yang meyakinkan pengundi.
Tinjauan UMNO Online mendapati majoriti responden menzahirkan keyakinan bahawa BN kekal sebagai parti paling konsisten memperjuangkan isu infrastruktur seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik—tiga aduan utama penduduk luar bandar.
Rekod pentadbiran BN sebelum ini, khususnya dalam menaik taraf kemudahan asas termasuk program pembangunan jalan kampung, projek bekalan air serta pengukuhan sistem elektrik, terus menjadi rujukan dan sandaran pengundi.
Di DUN Balung, seorang pengundi, Zulkifli Nasir, 35, menyatakan harapan agar calon BN, Erwan Palette, mampu membawa perubahan lebih baik sekiranya diberi mandat dalam PRN kali ini.

“Saya berharap calon BN, Erwan Palette, sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat di sini, dapat meningkatkan kesejahteraan ekonomi penduduk.
“Kami ingin melihat wakil rakyat yang bakal dilantik memperbaharui dan melebarkan jalan raya serta menambah tiang-tiang lampu di kawasan ini. Keperluan tersebut amat penting kerana jalan raya merupakan laluan utama penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti harian.
“Harapan kami hanya satu — agar pemimpin yang dipilih benar-benar bekerja untuk rakyat dan memastikan kawasan ini membangun seiring dengan tempat lain di Sabah,” jelasnya.
Sementara itu, Shirley Simon, 28, dari Kampung Andrassy, berharap calon BN bagi DUN Balung dapat membantu penduduk di kampung tersebut yang amat memerlukan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Kami amat berharap calon BN dapat membantu masyarakat di sini. Kampung ini memerlukan sumber air yang tetap bukannya dengan catuan seperti sekarang.
“Malah kami juga mahukan kestabilan elektrik yang sesuai, sekiranya tidak stabil dan sering terputus elektrik. Saya harap calon BN dapat memajukan kampung. Jalan raya masih berlubang,” katanya lagi.
Pada masa yang sama bagi Ahmad Riduan Awang, 33, Kampung Bukit Batu harap catuan air dapat diselesaikan dengan segera.
“Saya harap masalah percatuan air dapat diatasi dengan segera apabila BN kembali memerintah Sabah. Begitu juga dengan bekalan elektrik yang sering terganggu.
“Seterusnya harap wakil rakyat yang bakal dilantik ini dapat membantu dan meringankan urusan warga emas si kampung ini,” ujarnya.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke- 17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online
