SWP Teruskan Jelajah, Suntik Semangat Wanita UMNO – Dr Masliha

KALABAKAN, 20 Nov – Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP), Dr. Masliha Harun bersama pasukan SWP meneruskan jelajah turun padang di DUN Kukusan sebagai tanda sokongan moral kepada gerak kerja jentera wanita di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kunjungan itu memberi ruang untuk melihat sendiri kesungguhan serta komitmen jentera Wanita UMNO yang bekerja tanpa henti sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“SWP menzahirkan sokongan penuh kepada calon BN, Chaya Sulaiman, yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Sabah merangkap Ketua Wanita UMNO Kalabakan. Beliau merupakan sosok pemimpin wanita yang dihormati, dikenali melalui komitmen tinggi dalam menyantuni masyarakat serta pelbagai inisiatif kebajikan yang konsisten menjadi keutamaan sepanjang perkhidmatannya.

“Kami berasa bangga melihat gerak kerja jentera wanita yang begitu teratur, berdisiplin dan komited, sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan mereka menghadapi hari pengundian yang semakin hampir.

“Kehadiran kepimpinan tertinggi Wanita UMNO Malaysia turut menyuntik semangat jentera di peringkat akar umbi yang selama ini berjuang dengan penuh dedikasi bagi memastikan mesej parti disampaikan dengan berkesan kepada para pengundi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Wanita UMNO menegaskan bahawa Wanita UMNO sentiasa komited memastikan kemenangan calon BN di DUN berkenaan.

“Kesepaduan pemimpin wanita dari pelbagai negeri ini membuktikan bahawa Wanita UMNO bukan sahaja bersatu hati, malah memiliki jaringan sokongan yang kukuh dalam memastikan kemenangan calon BN di Sabah.

“Hubungan mesra antara pengundi, jentera dan kepimpinan wanita yang terserlah dalam majlis ini jelas mencerminkan semangat kekeluargaan UMNO yang sekian lama membumi dalam masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman,” ujarnya.

Tambahnya, kehadiran pimpinan wanita dari luar Sabah turut memberi rangsangan moral kepada jentera setempat untuk terus memperkukuh strategi kempen di setiap kawasan DUN yang ditandingi BN.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO