PRN Sabah: Bekalan Air Antara Isu Utama Di Labuk – Calon BN
BELURAN, 20 Nov — Isu bekalan air menjadi antara keutamaan utama calon Barisan Nasional (BN) di DUN Labuk, Yusoflatif Mustapah yang melihat masalah tersebut sebagai isu paling mendesak dan perlu diselesaikan segera sekiranya BN diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Menurut beliau, keadaan sistem air sedia ada di kawasan berkenaan sudah terlalu uzur dan memerlukan naik taraf menyeluruh termasuk pembinaan loji baharu bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat.
“Masalah air ini sudah lama. Sistem paip dan saluran utama ada yang berusia lebih 20 atau 30 tahun. Bila tekanan air ditingkatkan, paip pecah di sana-sini. Kadang-kadang kami hanya bergantung kepada stok air simpanan, itu pun semakin berkurang,” katanya kepada UMNO Online.
>
Beliau yang juga anak jati kawasan berkenaan seterusya berkata, isu air perlu diberikan keutamaan melebihi isu lain seperti elektrik dan jalan raya, kerana ia menyentuh terus kehidupan seharian rakyat.
“Sebagai orang yang lahir dan tinggal di sini, saya tahu masalah air ini sangat besar. Elektrik dan jalan raya pun begitu juga, tapi kalau air tiada, rakyat susah. Itu sebabnya cita-cita saya kalau diberi peluang menjadi kerajaan, kita akan usahakan loji air baharu dengan sistem moden dan bantuan kerajaan pusat,” jelasnya.
“Ramai belia di sini menganggur…sama ada yang tidak berpelajaran tinggi atau graduan. Kalau kita jadi kerajaan, saya akan usahakan pertemuan dengan Ketua Menteri untuk mohon tanah kira-kira 3,000 ekar bagi membangunkan kawasan pertanian atau operasi koperasi belia,” katanya.
Beliau seterusnya menjelaskan, rancangan itu akan dilaksanakan secara berstruktur melalui penubuhan koperasi atau koperasi belia tempatan, yang akan akan memberi manfaat kepada belia setempat.
“Kalau projek ini berjaya, kita boleh bangunkan tanah itu melalui FELCRA. Dahulu, ahli koperasi di kawasan saya pernah menerima dividen sehingga RM29,000. Jadi saya percaya, kalau kerajaan yang kukuh memimpin, tidak mustahil untuk kita laksanakan projek sebegini sekali lagi,” ujarnya penuh harapan.
Beliau menegaskan bahawa semua perancangan itu hanya dapat direalisasikan dengan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional.
“Yang penting, kita perlu jadi kerajaan. Dengan kekuatan jentera kerajaan seperti pertanian dan FELCRA, semua ini boleh dijayakan. Saya berharap, mudah-mudahan cita-cita ini menjadi kenyataan demi masa depan masyarakat Labuk,” katanya.- UMNO Online
