Pilih BN, Pernah Buktikan Keupayaan Mentadbir Cemerlang – Rushamizan
TAWAU, 20 Nov – Barisan Nasional (BN) bukan sekadar sebuah gabungan politik tetapi ia adalah sebuah institusi yang telah membina asas pentadbiran, pembangunan dan kestabilan di Sabah sejak sekian lama.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tawau, Rushamizan Rustam berkata, sepanjang tempoh pentadbiran BN sebelum ini, negeri Sabah menikmati pelbagai pencapaian yang terbukti dan boleh dinilai rakyat.
“Pembangunan infrastruktur luar bandar yang dibangunkan oleh BN sentiasa konsisten seperti membina jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air bersih di kawasan pedalaman yang selama ini terpinggir.
“Dasar ekonomi yang teratur serta usaha menarik pelaburan asing dan tempatan menjadikan BN mampu membangunkan Sabah sebagai destinasi pelaburan strategik, termasuk dalam sektor minyak dan gas, pelancongan dan perladangan. Langkah ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi turut meningkatkan hasil negeri.
“Ketika mentadbir Sabah, BN berjaya memastikan kestabilan politik yang membolehkan dasar dan projek pembangunan dilaksanakan secara konsisten tanpa gangguan perebutan kuasa,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Rushamizan, agenda pendidikan dan pembangunan modal insan sentiasa menjadi keutamaan dalam memperkasakan generasi muda Sabah.
“Pendirian universiti, Kolej Komuniti, MRSM serta perluasan program TVET adalah antara usaha penting bagi memastikan anak muda Sabah mempunyai peluang meningkatkan taraf hidup, sekali gus membantu keluarga keluar daripada kemiskinan.
“Kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan juga membolehkan Sabah menerima peruntukan besar, projek strategik dan bantuan segera apabila diperlukan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ketika politik Sabah sering berdepan pergolakan dan pertukaran kerajaan, rakyat sendiri menyedari bahawa BN mempunyai rekod pentadbiran yang lebih stabil, berfokus kepada rakyat dan berorientasikan pembangunan sebenar, bukannya retorik.
“BN Sabah komited untuk kembali sebagai kerajaan yang berwibawa, berpengalaman dan berintegriti. Rekod telah membuktikan bahawa di bawah BN, Sabah lebih terurus, lebih selamat dan lebih maju.
“Rekod tidak boleh dipalsukan. Rakyat Sabah pernah menikmati pembangunan ketika BN mentadbir, dan kami bersedia mengulangi kejayaan itu,” tegasnya. – UMNO Online
