Calon BN Kunak Tolak Tuduhan Palsu, Seru Politik Berintegriti

KUNAK, 19 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Seri Anil Sandhu menolak sekeras-kerasnya tuduhan serta fitnah yang mendakwa beliau menggunakan gelaran Datuk secara palsu dan memiliki kelulusan akademik yang tidak sah, sambil menyifatkannya sebagai cubaan jahat untuk mencemar reputasi serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap dirinya.

Beliau menegaskan bahawa semua gelaran serta kelayakan yang dimilikinya adalah sah, diiktiraf dan direkodkan secara rasmi.

“Tuduhan ini adalah tidak benar dan dibuat dengan niat jahat untuk merosakkan nama baik saya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Kunak.

“Saya kesal apabila budaya politik fitnah kembali dijadikan senjata oleh pihak yang takut berdepan dengan persaingan secara sihat. Mereka tahu bahawa rakyat Kunak semakin matang dan menilai calon berdasarkan kerja serta kemampuan, bukan berdasarkan cerita rekaan.

“Menabur fitnah bukan sahaja satu tindakan tidak bermoral malah mencerminkan betapa tandusnya idea pembangunan yang mereka ada,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Bendahari Pemuda UMNO Sabah menasihkan kepada penyebar fitnah agar berhenti daripada budaya kotor ini.

“Ingatlah bahawa setiap kata yang dilemparkan akan dipertanggungjawabkan. Politik seharusnya menjadi wadah untuk membina serta memajukan masyarakat, bukan medan menjatuhkan sesama sendiri melalui pembohongan dan tuduhan tidak berasas.

“Kepada rakyat Kunak yang saya kasihi, saya merayu agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan seperti ini. Nilailah melalui rekod khidmat dan bukti pencapaian, bukan sekadar cerita yang disebarkan tanpa asas.

“Ramai telah menjadi mangsa fitnah politik, namun akhirnya kebenaran tetap muncul meskipun mengambil masa. Jangan biarkan pihak yang gemar memutar belit fakta terus menipu masyarakat kita,” jelasnya.

Anil turut menambah bahawa beliau percaya rakyat Kunak cukup matang dan bijak untuk membezakan antara kebenaran dan pembohongan.

“Teruskan fokus kepada agenda pembangunan, masa depan anak-anak kita dan kemajuan Kunak. Marilah kita menolak politik fitnah dan memilih jalan yang lebih bersih serta berintegriti.

“Saya berdoa agar Allah SWT memelihara kita semua daripada fitnah dan perpecahan, serta memberikan kemenangan kepada pihak yang benar. Saya akan terus berkhidmat dengan jujur dan amanah demi rakyat Kunak,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO