BN Ketengahkan Calon Anak Muda Yang Hebat, Idea Segar Untuk Sabah
KOTA KINABALU, 19 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor Noor Azleen Ambros berkata calon Pemuda yang ditampilkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini ternyata berkebolehan dan mampu menjadi pemimpin pelapis.
Katanya, mereka juga berupaya mengetengahkan tawaran-tawaran baharu dan lebih segar kepada pengundi di Sabah di samping menawarkan penyelesaian yang tuntas.

“Khusus berkenaan kemudahan infrastruktur, masalah air, masalah sosial yang berlaku di Sabah ini, saya yakin calon-calon Pemuda ini mampu menawarkan penyelesaian baru, strategi baru andai kata diberi peluang mereka mampu melaksanakannya.
“Kita harapkan calon Pemuda ini dapat menjuarai dan mengetengahkan isu yang membelenggu penduduk dan rakyat Sabah selama ini. Dengan pendekatan dan tawaran baru yang lebih segar, saya yakin itu akan menggamit perhatian dan seterusnya memberi kepercayaan kepada calon-calon Pemuda,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya lagi, keputusan BN menampilkan 80 peratus muka baharu dalam kalangan 45 calon yang diketengahkan serta lima daripada sayap Pemuda menunjukkan komitmen parti untuk kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
“Mesej yang ingin kita sampaikan kepada pengundi-pengundi di Sabah khususnya, UMNO bukan sahaja tidak ketandusan pemimpin tetapi yang paling mustahak sentiasa memperbaharui generasi kepimpinannya.
“Kepimpinan yang diperbaharui itu membawa mesej dan mandat tersendiri khususnya berkenaan dengan kepimpinan yang lebih segar dan dengan tawaran-tawaran yang baru yang terbaik untuk rakyat dan pengundi di Sabah,” ujarnya.
Justeru Noor Azleen menghargai kepercayaan yang diberikan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan UMNO negeri Sabah kepada golongan muda dan berkata pihaknya akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
“Jadi kita mengharapkan kepercayaan yang diberikan oleh Presiden ini diterjemahkan dalam bentuk kejayaan khususnya di lima kawasan DUN yang pertaruhkan calon-calon daripada sayap Pemuda.
“Saya yakin mereka akan bekerja keras untuk membalas kepercayaan tersebut dalam bentuk kemenangan kepada parti. Mudah-mudahan dapat menyumbang kerusi kepada pembentukan kerajaan yang akan diterajui oleh Barisan Nasional di Sabah nanti, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO ONLINE
