Sekarang Mahu Jadi Hero Konon Parti Tempatan… Dulu Dia Di Mana?

KOTA BELUD, 18 Nov – Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menempelak beberapa pihak yang kini mahu menjadi hero kononnya memperjuangkan hanya parti tempatan yang layak mentadbir negeri itu dan menghasut rakyat menolak parti nasional.

“…parti-parti yang bersaing dengan kita ini dulu dari mana? Asalnya? Parti Warisan pemimpinnya dulu jadi Naib Presiden UMNO. Kalau tidak UMNO… siapa kenal dia? Sekarang mahu jadi hero konon parti tempatan, dulu dia di mana?

“Dulu dia kata UMNO parti keramat UMNO segala-galanya, diberi peluang untuk menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar pada ketika itu. Kalau tidak maju pada ketika itu, dialah yang perlu dipersalahkan, dipertanggungjawabkan. Tetapi dia hanya sekadar mahu mencipta nama.

‘Merata tempat berkata apa guna parti nasional mahu parti tempatan sahaja. Memperjuangkan Sabah ini tidak kisah sama ada parti tempatan atau parti nasional. Memperjuangkan Sabah ini adalah orang Sabah, juga bukan bertujuan memisahkan. Memisahkan negara kita Malaysia. Mereka ini berpolitik adalah untuk kepentingan mereka semata-mata,” tegas calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan itu.

Salleh berkata demikian di majlis perjumpaan Pengerusi BN Johor bersama jentera BN Kota Belud, di sini baru-baru ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRNJ) Sabah Ke-17.

Ujarnya, dalam berpolitik tidak boleh sekadar dengan berslogan, tetapi yang penting adalah menikmati hasil kemerdekaan.

Begitu juga beliau membidas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mendakwa sebagai parti tempatan tetapi gagal menyatukan parti-parti tempatan yang ada di negeri Sabah.

“Kata parti tempatan tetapi bergaduh dan bersaing sama sendiri, tidak boleh bekerjasama. Tengok dalam GRS kalau dia baik, kenapa STAR, SAPP keluar? Kerana parti itu gagal menyatupadukan orang Sabah, gagal menyatupadukan parti tempatan Sabah,” katanya.

Tambahnya lagi, GRS adalah parti hipokrit dan wujud hanya untuk menyelamatkan jawatan sahaja.

“GRS ini parti hipokrit. Parti ini ditubuhkan kerana mahu menyelamatkan jawatan mereka. Dulu mereka bersama Barisan Nasional, selepas itu Bersatu dan sekarang GRS. Kenapa mereka demikian kerana mahu bersama siapa sahaja jadi Perdana Menteri.

“Dulu mereka Bersatu kerana Perdana Menteri daripada Bersatu. Mereka jadi GRS kerana Perdana Menteri bukan lagi dari Bersatu. Perjuangan mereka bukan untuk orang Sabah,” katanya.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN akan bertanding di 45 buah kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon telah berlangsung pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO