Rusman Dulamit Seru Rakyat Membakut Kekal Bersatu, Raih Kemenangan Untuk BN

KIMANIS, 18 Nov – Calon BN N.31 Membakut, Rusman Dulamit, menegaskan bahawa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dijalankan dengan penuh adab, berhemah dan menjaga ukhuwah sesama masyarakat.

Dalam pertemuan bersama jentera dan penyokong, beliau merakamkan penghargaan atas kehadiran serta komitmen seluruh jentera parti yang disifatkannya sebagai keluarga besar BN di Membakut.

Menurutnya, kekuatan sebenar parti terletak pada semangat muafakat dan kesatuan hati untuk mengangkat kemenangan BN di kawasan tersebut.

Rusman turut menyeru agar seluruh jentera mengelakkan sebarang bentuk provokasi sepanjang tempoh berkempen, sambil menegaskan bahawa hubungan persaudaraan dan keharmonian masyarakat perlu dipelihara.

“Kita berkempen secara berhemah. Jangan sampai putus saudara, jangan bermasam muka. Kita mahu kemenangan, tetapi kita juga mahu masyarakat terus harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Ramah Mesra dan Sembang Santai dengan penduduk Kg Binsulok, Membakut di sini bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar. Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman.

Dalam kesempatan ini, Rusman turut mengajak pengundi di Membakut untuk bersatu hati memberikan mandat dan sokongan padu agar BN memperoleh majoriti kukuh serta membolehkannya berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Membakut.

Dalam PRN kali ini, Rusman berdepan pertandingan 10 penjuru, dan beliau memegang nombor calon satu (1). Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada Sabtu lalu sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO