Rakyat Sabah Perlu Pilih Kerajaan Yang Ada Trek Rekod Terbaik Makmurkan Negeri

SEPANGGAR, 18 Nov – Rakyat negeri Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 ini perlu memilih parti yang mampu menjadi kerajaan terbaik dan mempunyai trek rekod membangunkan dan memakmurkan negeri.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Haryaty Hamdzah, berkata begitu juga kerajaan yang benar-benar mengambil berat isu-isu rakyat dan menyelesaikan permasalahan dengan solusi terbaik.

“Yang lebih penting isu-isu besar di negeri Sabah ini rakyat perlu prihatin dan pilih kerajaan yang betul dan tepat, kerajaan yang mempunyai trek rekod yang boleh mengendalikan keperluan semasa rakyat contohnya isu air, pengangguran, pekerjaan, peluang ekonomi kepada rakyat.

“Ini memerlukan pemimpin yang tidak lari dan datang secara bermusim, bahkan memberi komitmen berada dalam kawasan membantu kesejahteraan rakyat. Ini yang mereka perlu pilih dan pangkah pada 29 November,” katanya kepada UMNO Online.

Mengambil contoh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah jagaan negeri Melaka, Haryaty yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka berkata di Sepanggar, dua kerusi yang ditandingi BN sangat penting terutama di DUN Karambunai kerana kawasan tersebut memerlukan tokoh tempatan yang berpengalaman untuk memastikan kesinambungan pentadbiran daripada kerajaan pusat ke kerajaan negeri.

“Sebab kita tengok pentingnya Karambunai di sini ada pelabuhan, ada pusat Pendidikan seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), kawasan perindustrian yang agak besar.

“Maka Karambunai ini seperti nadi untuk Sabah ini dan kita tidak boleh terlepas untuk meletakkan calon-calon yang tidak mempunyai trek rekod ataupun hanya sekadar beretorik bercakap tetapi dari segi pengalaman, urusan dengan pusat nanti terputus, maka itu kita perlukan kelangsungan kepimpinan untuk memastikan Sabah ini benar-benar melaksanakan Sabah Maju Jaya,” katanya lagi.

Selain Karambunai, BN juga meletakkan calon di DUN Darau.

Menyentuh mengenai gerak kerja jentera Wanita, Haryaty berkata mereka sememangnya sudah bersiap siaga bersama jentera tempatan dengan melakukan aktiviti ziarah rumah ke rumah dan memastikan pengundi yang berpihak kepada BN kekal hingga ke peti undi.

Selain itu katanya, kempen melalui digital media juga sangat penting.

“Mungkin wanita boleh berfungsi untuk menjadi JR Digital viralkan segala aktiviti melalui media sosial kerana adakala kita tidak dapat mendekati orang melalui bersemuka tetapi boleh membuat pendekatan melalui digital dan mampu capai ke kelompok sasaran,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon telah berlangsung pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN akan bertanding di 45 buah kerusi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO