Kombinasi Calon Baharu Dan Berpengalaman, Bikin Balik Sabah – Rais

KARAMBUNAI, 18 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka Datuk Rais Yasin berkata kombinasi 80 peratus calon baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan bakinya penyandang yang berpengalaman memperlihatkan satu kombinasi yang sangat baik.

Kata Rais yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka, tindakan berani itu membuktikan keseriusan BN Sabah yang mahu ‘bikin balik Sabah’, kembali membangunkan dan memajukan negeri tersebut.

“Kalau lihat (PRN) Melaka kita memenangi dengan kaedah 80 peratus juga muka baharu ketika itu, gabungan orang lama dan orang baru akhirnya kita berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi.

“Begitu juga selepas itu di negeri Johor, ramai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) daripada anak-anak muda dan juga ADUN-ADUN daripada orang lama dalam BN tetapi kembali menjadi ADUN di negeri Johor dan Melaka.

“Saya yakin dan percaya di Sabah juga kita membuat perkara yang sama pada Pilihan Raya Negeri kali ini. Insya-Allah dengan 45 kerusi yang Barisan Nasional tandingi ini, dengan semangat jitu daripada Barisan Nasional negeri-negeri lain datang membantu, sudah tentu kita akan berjaya pada kali ini, insya-Allah,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini di sini.

Seterusnya, Rais berkata jentera UMNO Negeri Melaka diamanahkan untuk membantu jentera BN Sepanggar khusus untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dan Darau.

“Di sini uniknya satu muka baru iaitu di N.17 Darau Arfanshah Abdul Gafar dan orang lama BN Sabah di N.16 Karambunai iaitu Datuk Yakub Khan.

“Insya-Allah kami berhasrat untuk bekerja kuat, komited di bawah Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk kita menjayakan kedua-dua kerusi ini untuk parti,” kata Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon telah berlangsung pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN akan bertanding di 45 buah kerusi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO