“Kekalahan Bukan Pilihan, Kita Tidak Boleh Kalah Dalam Pilihan Raya Ini”

KOTA BELUD, 18 Nov – “Kekalahan bukan pilihan, kita tidak boleh kalah dalam pilihan raya ini.”

Demikian kata-kata yang dizahirkan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan Tadzul Radim menanamkan azam kepada dirinya dan juga jentera kempen parti.

“…kerana kita telah merasai bagaimana peritnya menjadi pembangkang. Kita mesti mengambil alih semula Kerajaan Negeri Sabah. Cara mengambil alih kepimpinan dan Kerajaan Negeri Sabah adalah melalui pilihan raya.

“Pilihan raya pada 29 haribulan ini adalah amat penting dan kita mestilah memastikan bahawa semua pengundi-pengundi putih untuk turun beramai-ramai mengundi di peti undi dan memastikan mereka mengundi Barisan Nasional,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Pengerusi BN Johor bersama jentera BN Bahagian Kota Belud, baru-baru ini.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN akan bertanding di 45 buah kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon telah berlangsung pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.

Seterusnya, Tadzul menyeru semua jentera agar terus berusaha dan menjaga pengundi yang telah dikenal pasti sebagai penyokong BN.

“Saya merayu kepada semua jentera empat peringkat di Kota Belud ini agar kita terus berusaha terutama sekali untuk menjaga kawasan-kawasan dan pengundi-pengundi kita yang telah dikenal pasti.

“Hanya melalui itu sahaja kita boleh mengekalkan dan mengetahui bahawa kemenangan akan berpihak kepada kita. Jika kita menjaga barisan ataupun pengundi-pengundi dengan baik di setiap kawasan ataupun cawangan yang kita miliki,” katanya.

Tadzul juga mendoakan agar semua jentera BN Bahagian Kota Belud diberikan kekuatan, kesihatan dan dipermudahkan segala urusan pada hari mengundi agar parti beroleh kejayaan. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO