BN Tampil Calon Boleh Menang… Kombinasi Pengalaman, Keikhlasan Utama – Wan Rosdy
TANJUNG BATU, 18 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa BN masuk gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan barisan calon yang benar-benar bersedia untuk menang, bukan sekadar mengisi ruang.
Tegasnya, kesembilan calon BN yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kalabakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna merupakan barisan yang terbaik melalui tapisan yang ketat.
“Saya sangat optimis bahawa kesembilan calon yang terdiri dari DUN Kukusan, Tanjung Batu, Sebatik, Bugaya, Apas, Kunak, Silam, Tungku, dan Bugaya akan memberi saingan yang hebat.
“Sudah tentu calon yang ditampilkan oleh BN adalah calon yang boleh menang. Kita telah meneliti latar belakang mereka (calon), keikhlasan dan perjuangan calon-calon ini,” katanya kepada UMNO Online selepas bertemu sembilan calon yang bertanding di sini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO menyeru semua jentera parti BN di Sabah agar terus memperkukuhkan gerak kerja sepanjang kempen pilihan raya kali ini.

“Saya berharap agar semua jentera parti dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, bertemu seramai mungkin pengundi, dan menjelaskan kepada mereka bahawa BN komited untuk mengembalikan pentadbiran negeri Sabah kepada landasan yang betul.
“Banyak usul dan perancangan yang pernah dibawa oleh BN sebelum ini telah tergendala akibat kegagalan kerajaan selepas BN mentadbir Sabah, dan kini adalah masa untuk memastikan kesinambungan pembangunan itu dapat diteruskan.
“Melihat kepada kesiapan dan kesiagaan jentera serta bantuan yang hebat dari negeri-negeri angkat dan Insya-Allah… akan merampas kembali kerusi DUN yang BN bertanding. Kita akan pastikan kerajaan BN mendapat kembali dan akan pastikan supaya perjuangan BN dapat diteruskan demi kepentingan rakyat negeri Sabah,” katanya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN ke-17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
