PRN Sabah: Pilih BN, Tawaran Komitmen Pembaharuan Demi Rakyat – Dr Zambry

PUTATAN, 17 Nov – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyifatkan gelombang sokongan terhadap BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin kukuh apabila melihat sendiri kesepaduan dan semangat luar biasa jentera di semua kawasan sejak hari penamaan calon.

Menurut beliau, lawatan ke beberapa lokasi kempen termasuk di DUN Kawang semalam menunjukkan kesiapsiagaan tinggi jentera BN yang melibatkan lebih 1,000 petugas, dengan 700 hingga 800 daripadanya sudah bersedia turun ke peringkat akar umbi.

“Saya lihat semangat dan persediaan ahli-ahli UMNO serta calon BN begitu baik sekali. Ini memberikan keyakinan bahawa kita memulakan langkah yang amat positif dalam menyatukan ahli-ahli kita bergerak sebagai satu pasukan untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Zambry turut menegaskan tawaran BN kali ini jauh lebih progresif berbanding parti lain apabila menampilkan 80 peratus calon muka baharu iaitu satu keberanian politik yang menurutnya mencerminkan komitmen BN untuk membawa pembaharuan sebenar kepada rakyat Sabah.

Sebaliknya, katanya, parti lain seperti GRS dan Warisan hanya menawarkan sekitar 30 hingga 40 peratus calon baharu.

“Ini menunjukkan BN benar-benar ingin melakukan kebaikan dan perubahan demi memberi khidmat bakti yang lebih baik untuk rakyat Sabah,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, Zambry menarik perhatian kepada DUN Sulaman yang majoritinya terdiri daripada pengundi muda hampir 40 peratus.

Katanya, BN menawarkan calon muda berkelayakan tinggi di kawasan itu, seorang doktor pakar dan profesional, Dr. Shahnon Rizal Thaijudin, sebagai manifestasi keyakinan parti bahawa masa depan Sabah perlu digerakkan oleh generasi baharu.

“Ini kawasan Ketua Menteri sendiri. Saya harap rakyat dapat melihat bagaimana BN menawarkan seorang anak muda yang berketrampilan, berpendidikan tinggi, seorang doktor pakar, golongan profesional dan ini kemukakan kepada rakyat untuk rakyat.

“BN memikirkan calon-calon terbaik kerana ini adalah untuk masa depan… untuk anak-anak muda kita di sini,” tegasnya.

Zambry turut mengingatkan seluruh jentera supaya mengekalkan momentum sehingga hari terakhir kempen.

“Saya ingin sebutkan kepada semua jentera untuk teruskan semangat berkobar-kobar yang telah kita bina ini. Pastikan semua kawasan yang kita jaga dapat dijaga dengan elok dari sekarang hingga ke hari terakhir,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan jentera BN bukan lagi perlu dipertikai.

“Semua jentera BN telah pun teruji, dan jentera-jentera kita adalah yang terbaik. Saya berharap semangat untuk kita berjuang sampai ke garisan penamat dapat kita kekalkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO