Pan Borneo Perlu Dipercepat, Pilih BN Untuk Kesinambungan Pembangunan

KUNAK, 17 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat menegaskan bahawa Projek Lebuh Raya Pan Borneo merupakan keperluan rakyat Sabah dan wajar dipercepatkan pelaksanaannya.

Jelasnya, sepanjang lawatannya di Sabah, beliau mendapati isu Pan Borneo menjadi topik utama dalam kalangan masyarakat setempat yang amat menantikan penyambungan projek tersebut.

 

“Saya melihat Lebuh Raya Pan Borneo ini menjadi ‘bualan’ bagi masyarakat di Sabah. Ke mana-mana berjalan di sini, rakyat akan bercerita mengenai Pan Borneo. Sebagaimana dimaklum dahulu Pan Borneo telah berjalan dan selepas pada itu agak ‘lembab’ prosesnya dan sekarang sudah nampak dimulakan semula.

“Kita perlu menangkan BN di Sabah agar ada hubungan baik dengan kerajaan Pusat dan pelaksanaan penyambungannya dapat dilakukan dengan kadar segera. Sememangnya ia menjadi realiti dan keperluan rakyat Sabah. Seperti contoh perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu , Semporna dan juga Sandakan.

“Ia jelas menampakkan bahawa Pan Borneo ini sangat penting dalam insfrastruktur terutamanya rakyat Sabah. Saya sangat menyokong rakyat negeri Sabah menuntut perkara ini supaya ianya dapat dipercepatkan pembinaan dan kehendak rakyat Kunak dapat diselesaikan dengan seberapa segera” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata dana bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo datang sepenuhnya daripada kerajaan Persekutuan, justeru ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat Sabah memberikan keyakinan kepada calon Barisan Nasional (BN) di DUN Kunak, Anil Sandhu.

“Rakyat Sabah memerlukan pembinaan dengan segera Pan Borneo tersebut dan negeri ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat serta, padu dan bersama dengan kerajaan Persekutuan.

“Dana-dana pembinaan Pan Borneo adalah dari kerajaan Persekutuan, maka ini adalah peluang yang terbaik untuk rakyat Sabah memberi ruang kepada calon BN di DUN Kunak, Anil Sandhu supaya beliau boleh membawa suara orang Kunak dapat dipercepatkan pembinaannya terus ke Pusat,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau yang juga Pengerusi KETENGAH menjelaskan UMNO Terengganu telah berkempen di DUN Kunak dan memahami selok-belok kawasan tersebut, namun menegaskan suasana politik kini agak berbeza.

“Kami telah berkempen di Kunak dan tahu selok-belok di DUN ini tetapi sekarang ini agak berbeza sedikit kerana suasana politik. Walaupun ini baru permulaan kempen tetapi sudah nampak dapat sambutan dari akar umbi parti dan rakyat Kunak.

“Calon BN bagi DUN Kunak, Anil Sandhu ini tidak asing bagi rakyat Kunak dan ini adalah peluang terbaik bagi memberi peluang pada beliau, seorang anak muda yang agresif, sentiasa berkerja dan membantu rakyat Kunak,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO