Pan Borneo… Kestabilan Politik Penting Pastikan Projek Pembangunan Tidak Diganggu

KOTA BELUD, 17 Nov – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kestabilan politik dalam sesebuah kerajaan menjadi kunci utama untuk memastikan projek-projek pembangunan berjalan lancar mengikut masa yang ditetapkan.

Mengambil contoh mengenai Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Dr Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, antara kelewatan ia siap disebabkan ketidakstabilan kerajaan negeri apabila bertukar sebanyak dua kali selepas Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu.

“Di antara punca Pan Borneo Sabah ini lewat adalah kerana pertukaran kerajaan. Dua kali pertukaran kerajaan dibanding dengan Sarawak yang kerajaannya stabil. Jika Barisan Nasional sebelum ini memerintah terus, saya yakin Pan Borneo ini sudah siap tetapi apabila Warisan, selepas itu GRS, banyak perkara yang diubah.

“Oleh itu, kestabilan politik penting untuk memastikan projek-projek (pembangunan) tidak diganggu, ditukar-tukar perkara yang telah dipersetujui daripada awal. Jadi, bukti yang jelas dan nyata bagaimana kestabilan politik Sarawak ia cepat siap.

“Kita kena bagi tuan punya kerajaan yang mengumumkan Pan Borneo iaitu Barisan Nasional untuk kembali memerintah Sabah ini kerana terbukti segala pembangunan yang kita dapat lihat ini banyak diselesaikan oleh Barisan Nasional,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya lagi, BN cukup berpengalaman mentadbir dan telah berjaya membangunkan negeri Sabah.

“Barisan Nasional yang cukup berpengalaman dari segi pembangunan dan kita lihat segala Pan Borneo, UMS (Universiti Malaysia Sabah), industri yang dibina, bangunan yang gah.

“(Syarikat) swasta ketika itu melabur dengan begitu banyak… ini semua zaman Barisan Nasional. Tidak tahu apa perkara yang mereka (Warisan/GRS) buat dalam zaman mereka,” katanya lagi.

Manakala menyentuh mengenai calon BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Tempasuk dan Pintasan, Dr Ahmad berkata semua mempunyai kredibiliti yang sangat baik untuk dipilih oleh pengundi.

“Muka baharu yang kita kemukakan bukan sebarangan orang. Sebagai contoh daripada tiga calon di sini, dua muka baru satu muka lama tapi Datuk Seri Salleh Said (DUN Usukan) berpengalaman bekas menteri, ada pendidikan dan bekas CM (Ketua Menteri).

“Azuwan Marjan latar belakangnya ‘engineer’, Tadzul Radim (DUN Pintasan) belajar engineering di universiti dan berpengalaman 25 tahun sebagai ketua GiatMARA negeri Sabah, kemudian CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Akademi Binaan Malaysia di bawah CIDB, yang ada kemahiran dan kemampuan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN akan bertanding di 45 buah kerusi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO