Kolaborasi Kerajaan Sealiran Mampu Atasi Masalah Pengangguran Tinggi Di Sabah

KOTA BELUD, 17 Nov – Kolaborasi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang sealiran mampu mengatasi masalah kadar pengangguran yang tinggi di Sabah, ujar Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Ujarnya, negeri Sabah kini dibelenggu masalah kadar pengangguran yang paling tinggi dalam negara, mencecah 6.2 peratus dan mutlaknya 17.1 peratus kadar negara mengikut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Berkolaborasi ertinya kita berkehendakkan sebuah kepimpinan baharu kalau boleh biarlah Barisan Nasional (BN) yang menerajui.

“Kita bertanding 45 kerusi (Pilihan Raya Negeri Sabah) dan insya-Allah jika diterajui oleh Barisan Nasional, kolaborasi sealiran di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Perkara seperti TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan ruang pekerjaan ini di bawah kuasa Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), sudah pastilah kita akan memberi perhatian sepenuhnya apa yang kita hendak lakukan di Sabah ini,” ujar Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO kepada UMNO Online.

Tambah Abdul Rahman lagi, BN yang menampilkan 80 peratus muka baharu dengan pelbagai latar belakang profesion mampu mentadbir negeri Sabah dengan lebih baik.

“…pelbagai golongan, ada doktor pakar, teknokrat, jurutera dan sebagainya. Saya percaya dengan gabungan yang dibentuk oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin (Pengerusi BN Sabah) ini akan membuahkan hasil supaya boleh membawa satu perubahan yang besar bagi negeri Sabah.

“Trek rekod sudah pasti dari dulu Barisan Nasional yang menerajui Sabah ini sehinggakan Sabah ke tahap hari ini. Dan kita hendak tumpukan sebagaimana dikatakan oleh Bung Moktar “aku mesti mau selesaikan masalah air, jalan raya, pengangguran.”

“Pengangguran inilah yang kita hendak berkolaborasi supaya apa yang dinyatakan Bung Moktar itu akan menjadi kenyataan kepada rakyat di negeri Sabah,” kata Ahli Parlimen Lipis itu lagi.

Manakala berhubung dengan Karnival Lindung MyFutureJobs @ Kota Belud Sabah 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Abdul Rahman berkata ia merupakan program Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai satu usaha untuk menyelesaikan masalah penganggguran di negeri Sabah.

Jelasnya lagi, mereka yang mencari kerja digalakkan untuk mendaftar di portal MyFutureJobs dan setakat ini 3.1 juta telah mendaftar termasuklah 26 ribu kategori orang kurang upaya dan 750 ribu golongan TVET.

Begitu juga katanya mengenai langkah kerajaan yang serius mengenai pendidikan kemahiran tinggi untuk golongan muda khususnya dengan menubuhkan Suruhanjaya TVET.

“TVET ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan Pengerusi TVET. Beliau telah menubuhkan Suruhanjaya TVET dan ia akan tetap kekal siapa sahaja yang memegang tampuk kepimpinan.

“Saya percaya di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beliau banyak menyarankan supaya kegiatan-kegiatan yang kita lakukan adalah teknologi tinggi atau ‘hi-tech’ dan sudah pastilah kecerdasan buatan (AI) termasuk dalam golongan itu. Kita percaya dengan langkah yang dilaksanakan oleh Timbalan Perdana Menteri di bawah saranan Perdana Menteri, TVET ini telah membuahkan kejayaan.

“Sebagai contoh kita menyerahkan lima tawaran sebentar tadi dan kerja yang ditawarkan diberi gaji RM3,500 ke atas. Ertinya, program ini berjaya dan hasrat kerajaan banyak perkara sebagaimana penubuhan Akta Gig sebelum ini, kita hendak golongan gig tidak akan ketinggalan dan akan dilancarkan di Sabah,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO