Jentera BN Diseru Terus Santuni Pengundi, Rakyat Jangan Terpedaya Persepsi Negatif

PUTATAN, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat Jeffery Nor Mohamed berharap jentera parti terus menyantuni rakyat terutama pengundi yang berpihak kepada BN.

Katanya, segala perancangan telah diatur dan fasa kritikal pada minggu kedua berkempen perlu diperhebatkan terutama bancian sikap dan ketika proses hari pengundian 29 November nanti.

“Saya berharap dengan segala perancangan yang dibuat dan dengan pelantikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putatan sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk mengaturnya, segala proses yang telah diatur berjalan lancar. Minggu kedua berkempen saya minta jentera bancian sikap fokus dan bersiap sedia bagi membawa semua keluar pengundi-pengundi putih.

“Ada 11 calon (di DUN Tanjung Keramat) termasuk saya, sudah tentu pendekatan daripada setiap parti ada sedikit perubahan tentang menarik pengundi. Kita mahu pengundi putih kekal dan tiada perubahan sokongan, keluar dengan selamat dan terus pergi mengundi, insya-Allah kita boleh memenangi pilihan raya ini,” kata Jeffery Nor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan kepada UMNO Online.

Jeffery ditemui selepas majlis ramah mesra bersama calon BN N.24 Tanjung Keramat yang turut dihadiri Pengerusi BN Pahang merangkap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di Kampung Meruntum, di sini, Ahad malam.

Menurutnya lagi, jentera BN di Putatan sudah hampir dua tahun lalu bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini dan kini hanya membuat beberapa sedikit perubahan sesuai dengan keadaan semasa.

Manakala menyentuh mengenai cabaran di media sosial, Jeffery berkata rakyat terutama pengundi jangan mudah terpedaya dengan persepsi negatif yang dilemparkan terhadap calon BN.

Apa yang utama ujarnya, rakyat di Putatan dan Tanjung Keramat khususnya lebih mengenali beliau dan keluarga yang sentiasa menabur bakti tanpa kira waktu pilihan raya atau tidak.

Jeffery seterusnya berkata dengan pelbagai komen di media sosial baik yang positif mahupun negatif, apa yang penting beliau tidak terpengaruh dengan provokasi pihak lawan.

“…bagi kita apa yang perlu dibuat sekarang adalah cara kita bekerja bertemu rakyat secara konvensional. Saya telah minta JR di DUN Petagas dan Tanjung Aru (lebih 400 orang) bantu JR DUN Tanjung Keramat ini dari rumah ke rumah.

“Sebab saya sudah naik lebih 600 buah rumah dari rumah ke rumah sebelum pilihan raya. Jadi saya minta jentera berjumpa, bertemu dan meminta, rendah diri, tidak boleh ego dengan rakyat kerana rakyat yang menentukan kejayaan kita. Jadi insya-Allah 29 haribulan nanti kita beroleh kejayaan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO