Gerak Kerja Luar Biasa Diperlukan, Menangkan Tiga DUN Di Kota Belud

KOTA BELUD, 17 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor merangkap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata jentera perlu berusaha dan mempunyai gerak kerja yang luar biasa bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu, kemenangan tidak datang dengan mudah dan ia memerlukan komitmen yang tinggi dari semua pihak baik di peringkat bahagian hinggalah ke peringkat cawangan.

“…ada masa dua minggu lagi untuk sampai hingga ke 29 haribulan (November), dan kalau kita tidak ‘man to man marking’, pergi rumah ke rumah bagaimana hendak menang?

“Peranan jentera untuk memastikan pergi rumah ke rumah perlu diperhebatkan untuk memastikan calon kita menang. Semangat sahaja tidak mencukupi… ia bukan satu perkara yang mudah tetapi memerlukan satu pengorbanan, usaha yang luar biasa supaya setiap jentera melakukan gerak kerja yang luar biasa,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian dalam majlis perjumpaan bersama jentera BN Kota Belud di sini, Ahad petang.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Azuwan Marjan yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, calon BN DUN Usukan Datuk Seri Salleh Said Keruak dan calon BN DUN Pintasan Tadzul Radim.

Seterusnya, Onn Hafiz berkata jentera dari negeri Johor turun membantu jentera tempatan bagi memastikan parti mendapat kemenangan tiga DUN dalam Parlimen Kota Belud.

“Sasaran kita di Kota Belud ini adalah untuk menang tiga kerusi iaitu Pintasan, Tempasuk dan Usukan. Johor akan bantu habis-habisan tetapi jentera UMNO/BN juga perlu bergerak habis-habisan, sama-sama.

“Kita pastikan tiga kerusi ini menjadi kubu kuat UMNO dan juga Barisan Nasional,” serunya lagi.

Bercakap kepada media selepas majlis, Onn Hafiz berkata BN mempunyai kelebihan atas faktor mempunyai calon yang berkredibiliti dan berkebolehan serta jentera yang berpengalaman dalam berkempen.

Selain itu katanya, fokus utama adalah menyantuni rakyat serta menerangkan kepada kepada mereka tentang perjuangan BN yang konsisten menjaga kepentingan dan membangunkan negeri Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO