Fokus Gerak Kerja, Puteri UMNO Tekad ‘Bikin Balik Sabah’
KOTA KINABALU, 17 Nov – Ketua Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal, menegaskan komitmen pergerakan terbabit dalam menyantuni pengundi muda serta memastikan gerak kerja mereka tersusun rapi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini.
Menurut beliau, setiap bahagian telah diberi kebebasan untuk menyelaraskan aktiviti mengikut keperluan pengundi di kawasan masing-masing.
“Kami menyedari gerak kerja ini berbeza-beza mengikut PDM dan bahagian, jadi setiap bahagian yang telah bekerja sejak awal lebih mengetahui apa yang pengundi muda mahukan,” kata beliau kepada UMNO Online.

Ummi Nabilah menambah, gerak kerja Puteri bukan sahaja berbentuk sosial dan kemasyarakatan, malah turut menekankan aktiviti sukan dan riadah bagi menarik minat golongan muda.
Sebagai contoh, katanya yang juga Ketua Puteri UMNO Papar, di sini diperkenalkan sukan pickleball kepada anggota Puteri dan orang ramai sebagai sebahagian daripada program outreach mereka.
Beliau menegaskan, harapan utama Puteri UMNO adalah kemenangan setiap DUN BN demi membawa perubahan dan pembangunan yang lebih signifikan kepada Sabah.
“BN memainkan peranan penting kepada rakyat Sabah dan tanpa BN, banyak perkara tidak dapat dicapai. Kami berharap BN kembali memerintah agar pembangunan, termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo, dapat diteruskan dengan lebih lancar,” ujarnya.
Ummi Nabilah turut memberi semangat kepada semua jentera Puteri UMNO untuk bekerja tanpa putus asa sehingga ke hari pengundian.

“Kita telah berusaha sejak 2023, malah ada yang mula lebih awal lagi. Jangan putus asa, teruskan tenaga kita sehingga ke garisan penamat. InsyaAllah kita akan menang dan bikin balik Sabah,” tegasnya lagi.
Semalam telah berlangsung penamaan calon PRN Sabah membabitkan 45 calon BN yang bertanding. Tarikh tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online
