PRN Sabah: Md Nadzmin Komited Selesai Masalah 3 Serangkai, Bangunkan Karanaan
RANAU, 16 Nov – Kunjungan mesra Calon Barisan Nasional (BN) DUN N37 Karanaan, Md Nadzmin Kamin, ke kawasan Nagaya dan Tudan hari ini memberi gambaran jelas tentang kesungguhan beliau turun padang mendengar denyut nadi rakyat serta meneliti sendiri cabaran yang membelenggu penduduk setempat.
Dalam sesi bertemu penduduk, Md Nadzmin menegaskan bahawa Karanaan memerlukan kepimpinan baharu yang mempunyai visi dan kemampuan untuk memacu pembangunan infrastruktur, memperkukuh kemudahan asas serta membuka lebih banyak peluang ekonomi.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, tumpuan utama akan diberikan kepada penyelesaian tiga masalah serangkai yang telah lama menghimpit kehidupan rakyat: jalan rosak, bekalan air tidak menentu, dan gangguan elektrik berulang.

Menurutnya, isu asas ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan harian penduduk, malah turut menekan sektor ekonomi penting di Karanaan dan Ranau.
“Jalan ladang yang teruk menyukarkan pengusaha menghantar hasil pertanian dan tenusu ke pasaran, sementara jalan sempit menuju Kundasang, Poring dan pekan Ranau turut memberi kesan kepada pengalaman pelancong.
“Gangguan air dan elektrik pula sering melumpuhkan operasi inap desa, kilang kecil serta industri pelancongan yang menjadi nadi pendapatan ramai penduduk.”
Md Nadzmin turut menyuarakan kekesalan terhadap projek-projek asas yang terbengkalai sejak BN tidak lagi mentadbir negeri, walaupun banyak daripadanya telah dimulakan ketika era BN.
Beliau berkata, adalah mengecewakan apabila kerajaan negeri mampu membelanjakan RM2.6 bilion untuk infrastruktur dalam Belanjawan 2025, namun masalah asas rakyat masih gagal diselesaikan secara berkesan.
BN, katanya, mempunyai rekod pentadbiran yang terbukti dan berpaksikan rakyat.
“Dengan kesinambungan pengalaman serta perancangan teratur, Ranau diyakini mampu dipulihkan sebagai hab pertanian moden dan destinasi pelancongan mampan yang lebih berdaya saing di Sabah,” katanya.
Beliau menyeru seluruh penduduk Karanaan agar bersatu, memilih kepimpinan yang berupaya membawa perubahan sebenar, dan bersama membina masa depan yang lebih baik dan makmur untuk generasi akan datang. – UMNO Online
