Naib Presiden UMNO Seru Jentera Parti Kerja Keras Menangkan Calon BN Di Sabah

KINABATANGAN, 16 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh jentera Barisan Nasional (BN) agar bekerja lebih kuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, khususnya bagi memastikan kemenangan calon parti di DUN Sukau dan DUN Lamag serta yang lain.
Berucap ketika melancarkan jentera pilihan raya kedua-dua DUN berkenaan semalam, Wan Rosdy menegaskan bahawa setiap undi adalah amat penting dalam usaha BN mengembalikan mandat mentadbir Sabah.
“Satu undi cukup penting. Inilah peluang terbaik untuk seluruh Sabah membawa BN kembali memimpin negeri ini,” katanya sambil mengingatkan jentera supaya tidak lalai sepanjang tempoh kempen.
Beliau berkata BN akan memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan calon-calon parti di Sukau dan Lamag, sekali gus membuka ruang untuk kepimpinan yang lebih stabil di Sabah.
“Kita tidak perlu mengulangi satu persatu masalah kepimpinan mereka. Rakyat Sabah melihat dan menilai. Rakyat Sabah untuk Sabah,” katanya.
Wan Rosdy turut mengingatkan bahawa PRN kali ini bukan perkara kecil, dan kelalaian jentera akan membawa kesan lima tahun ke hadapan.
“Kalau kita lalai dan syok sendiri, kita kena tunggu lima tahun lagi. Sekaranglah masanya untuk kita ajak rakyat lakukan perubahan,” tegasnya.
Beliau yakin calon-calon BN yang diketengahkan adalah yang terbaik untuk mengembalikan kestabilan pentadbiran negeri.
“Saya sangat yakin dan optimis, insya-Allah calon BN kali ini akan menang,” katanya.
Wan Rosdy menutup ucapannya dengan menyeru jentera agar memanfaatkan dua minggu terakhir kempen dengan bertemu seramai mungkin pengundi.
“Harapan saya satu sahaja marilah kita sama-sama bekerja kuat. Dua minggu ini sekejap sahaja. Pastikan Sabah kembali kepada BN,” katanya.
Turut hadir Ketua UMNO Sabah yang juga calon BN DUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Hafry Ariffin; serta barisan pimpinan UMNO dan BN negeri. – UMNO Online
Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO