Kerajaan Yang Kuat Dan Stabil Kunci Kepada Keselamatan, Kemakmuran

KOTA BELUD, 16 Nov – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan yang kuat dan stabil merupakan kunci kepada keselamatan dan seterusnya mampu membawa kemakmuran kepada negeri dan rakyat.

Selain itu ujar Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO, kerajaan negeri mestilah mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pusat supaya mampu memajukan negeri.

“Kalau kita nak pastikan negeri kita selamat, tentunya mesti mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil. Kalau kerajaan tak kuat dan stabil, bagaimana nak pastikan keselamatan itu boleh dijaga.

“Kalau kita mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil, kerajaan itu juga mampu melaksanakan tanggungjawab memajukan rakyat dan juga negeri. Apa guna beri kuasa jika tak mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah untuk memajukan rakyat dan negeri,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Karnival Warga ATM Zon Kota Belud di Kompleks Sukan Kota Belud, di sini pada Sabtu petang.

Selain itu, Mohamed Khaled menasihati warga pertahanan dan rakyat agar menolak pihak yang menanam kebencian kepada Persekutuan.

“Kita wajar menolak mana-mana pihak yang mungkin menghasut dan benci kepada Persekutuan. Anggota yang bertugas menjaga keselamatan di sini juga banyak yang datang dari negeri-negeri lain.

“Jangan dibenarkan mana-mana pihak yang mahu memecah-belahkan kita,” katanya.

Manakala bercakap kepada media selepas program tersebut, Mohamed Khaled antaranya mengingatkan warga pertahanan supaya perlu memahami peranan terbesar dan fokus kepada keutamaan pastikan keamanan negara terus terpelihara. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO