Istiqamah Kerja Kuat, Santuni Pengundi Pastikan Kemenangan BN

LIKAS, 16 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan kata-kata semangat khususnya kepada jentera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dan Darau, ketika selesai proses penamaan calon, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berpesan agar jentera tempatan dan angkat menjaga dengan sebaiknya pengundi yang berpihak kepada BN di samping menyantuni pengundi atas pagar.

“Jentera kita jaga pengundi-pengundi putih, pastikan pengundi-pengundi kita tidak lari. Dan insya-Allah calon kita pada 29 November nanti akan diisytiharkan kemenangan kepada dua-dua calon kita. Walaupun banyak penjuru tetapi penjuru nombor satu (Datuk Yakub Khan – DUN Karambunai) dan penjuru nombor tiga (Arfanshah Abdul Gafar – DUN Darau) yang akan dipilih oleh rakyat.

“Tentunya mulai dari sekarang hingga 29 November, kita istiqamah tetapkan hati terus kuat bekerja untuk menyantuni semua pengundi kita, begitu juga pengundi di atas pagar, saya harap jentera kita harus menyantuni mereka,” kata Presiden UMNO itu di hadapan kira-kira seribu penyokong dan jentera BN di perkarangan Pusat Dagangan Sabah, di sini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri merangkap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Mohd Razlan Rafii dan beberapa Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Hadir sama kedua-dua calon dan barisan kepimpinan UMNO bahagian dari negeri Melaka dan Sepanggar.

Seterusnya, Ahmad Zahid berkata pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini, BN bertanding di 45 buah kerusi DUN dan menyeru semua jentera bekerja keras demi kemenangan semua calon.

Manakala Ab Rauf dalam ucapannya selaku negeri angkat kepada DUN Karambunai dan Darau berkata pihaknya akan menggerakkan jentera dengan sebaiknya.

“Saya yang diamanahkan oleh Presiden, akan menggerakkan jentera daripada seluruh Melaka akan berkampung di Karambunai dan Darau. Saya bersama-sama dengan jentera akan berada di sini memastikan kita insya-Allah akan memenangi kedua-dua kerusi ini,” katanya.

Rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Sabah kali ini mencatatkan DUN Karambunai melibatkan 11 penjuru dan enam penjuru bagi DUN Darau.

SPR menetapkan 29 November ini sebagai tarikh pembuangan undi yang melibatkan 73 buah kerusi DUN manakala hari mengundi awal pada 25 November.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO