‘Calon Baharu, Semangat Baharu, Idea Baharu’, Tekad Jamal Nerubi Untuk Rakyat

PAPAR, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Kawang, Datuk Jamal Nerubi, menegaskan bahawa proses penamaan calon kali ini memberi gambaran jelas mengenai kekuatan sebenar setiap calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Menurutnya, penampilan calon baharu daripada BN membawa nafas segar yang mencerminkan perubahan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

“Calon baharu, semangat baharu, idea baharu. Inilah masanya untuk membawa pembaharuan dan memperkenalkan idea-idea yang sebelum ini tidak pernah difikirkan. Saya selaku calon BN tampil dengan tenaga baharu yang benar-benar mahu bekerja untuk rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Jamal turut menekankan bahawa fokus utama beliau adalah memastikan golongan muda mendapat lebih banyak peluang dan perhatian, termasuk cadangan pembangunan kemudahan sukan seperti stadium mini baharu demi merancakkan pembangunan modal insan dan aktiviti belia di kawasan Kawang.

Namun, beliau menegaskan bahawa perhatian kepada warga emas dan golongan berusia tidak akan sesekali diabaikan.

“Orang muda perlu ruang dan peluang, tetapi golongan tua juga tetap diberi perhatian, khususnya melibatkan rumah ibadah dan kemudahan masyarakat,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau mohon semua pihak agar sama-sama berdoa untuk dikurniakan kesihatan dan kekuatan bagi meneruskan gerak kerja bertemu seramai mungkin penduduk.

“Selama ini kita sudah turun padang, ziarah rumah ke rumah. Kini apabila saya dipilih sebagai calon, usaha itu akan saya lipatgandakan demi rakyat Kawang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam kempen di sini yang turut disertai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa hadir pada perlawanan persahabatan pickleball Puteri UMNO Papar yang diadakan di gelanggang terbuka di sini, hari ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO