BN Perkukuh Kempen Di Sepanggar, Abdul Razak Yakin Rakyat Bijak Buat Pertimbangan

KOTA KINABALU, 17 Nov – Kempen Barisan Nasional (BN) di Sabah khususnya di Sepanggar terus diperkukuh apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan BN Melaka tampil menyatakan sokongan penuh terhadap dua calon yang akan membawa panji parti di kawasan Sepanggar iaitu Datuk Yakub Khan (N.16 Karambunai) dan Arfanshah Abdul Gafar (N.17 Darau).

Seawal pagi semalam, kedua-dua calon berarak ke Dewan MAKSAK, Likas bagi proses penamaan calon dengan diiringi Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai tanda kesatuan dan kekuatan jentera BN.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai merekodkan pertandingan 11 penjuru, namun Abdul Razak menegaskan bahawa pengundi tidak perlu terkeliru dengan jumlah calon yang ramai.

“Jangan pening-pening. Undi sahaja Calon Nombor 1 iaitu Datuk Yakub Khan mewakili BN selain Arfanshah (DUN Darau – calon nombor 3),” katanya kepada UMNO-Online.

Menurutnya lagi, kerjasama erat antara BN Kota Melaka serta BN Negeri dan BN Sepanggar sepanjang kempen dijangka memberi impak terbaik dalam meyakinkan pengundi di kedua-dua kawasan tersebut.

“Gerak kerja kita tersusun, jentera kita bersedia. Keyakinan pengundi makin meningkat. Bikin Balik Sabah!” tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk mengisi kekosongan 73 buah kerusi DUN.

Hari penamaan calon ditetapkan pada hari ini manakala hari mengundi awal pada 25 November.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November.

BN bertanding di 45 buah kerusi DUN. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO