PRN Sabah: UMNO Melaka Hantar 240 Jentera Bantu Kempen BN
SEPANGGAR, 15 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata seramai 240 orang jentera dari negeri itu turun membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 ini.
Kata Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka, petugas yang hadir terdiri daripada seluruh bahagian negeri itu khusus di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dan Darau serta diagihkan mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Kita mempunyai kekuatan 240 orang dan akan dibahagi kepada dua kawasan. Satu kawasan ada 120 orang jentera dan akan dibahagi pula mengikut PDM.
“Insya-Allah gerak kerja tersusun dan terancang ini akan membuahkan hasil yang baik dengan kerjasama jentera-jentera tempatan yang akan membantu mengenal pasti kawasan-kawasan sasaran dan mengoptimumkan kekuatan calon yang akan diberikan satu pendedahan yang cukup baik melalui jentera Melaka ini,” kata Pengerusi BN Melaka itu kepada UMNO Online.
Ab Rauf ditemui selepas Majlis Perjumpaan BN Negeri Melaka bersama Bahagian Sepanggar di sini, Jumaat petang.
Hadir sama Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Melaka Datuk Rais Yassin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Yakub Khan selaku penyandang DUN Karambunai serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar yang juga calon DUN Darau Arfanshah Abdul Gafar.

Tambah Ab Rauf, kerjasama dan kesepaduan antara jentera angkat dan tempatan mampu mengoptimumkan gerak kerja bagi memastikan pengundi memilih BN.
“Kita memulakan langkah awal untuk menggerakkan jentera yang datang dari negeri Melaka bagi membantu jentera pilihan raya di Sepanggar dalam dua DUN (iaitu) DUN Karambunai dan Darau. Kita telah menyerahkan semua data tentang daftar pengundi dan ahli-ahli UMNO yang ada dalam kawasan ini.
“Akan dihadamkan oleh jentera Melaka bersama pihak Karambunai dan Darau ini, bagi kita mengoptimumkan gerak kerja dan memastikan bahawa mereka (pengundi) pada pilihan raya kali ini adalah (memilih) Barisan Nasional,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai tarikh PRN Sabah untuk mengisi kekosongan 73 buah kerusi DUN.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November.
BN akan bertanding di 45 buah kerusi DUN. – UMNO ONLINE
