PRN Sabah: Lebih 1,000 Penyokong BN Iringi Calon BN Di Kalabakan
KALABAKAN, 15 Nov – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bermula pada 9 hingga 10 pagi ini di 73 pusat di seluruh negeri.
Lebih 1,000 penyokong mengiringi tiga calon Barisan Nasional (BN) di sini, iaitu N70 Kukusan, Chaya Sulaiman; N71 Tanjung Batu, Samasuddin Yusop dan N73 Sebatik, Aslan Fadli Samsul Alang bagi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Penyokong BN yang terdiri dari pelbagai kaum serta kepimpinan parti turut sama-sama berarak sebelum tiba di hadapan pusat penamaan calon Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Chin, Tawau.
Perarakan dimulai dengan doa dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Laungan ‘Radu Tatap Radu, Radu Sampai Menang’ dan ‘ Kita Lawan Kita Tawan’ mengiringi perarakan sejauh 500 meter ke pusat penamaan calon PRN Sabah.
Para masa yang sama ‘chanting’ Ultras BN yang dikendalikan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kalabakan telah menyuntik semangat para penyokong parti.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed; kepimpinan UMNO/ BN Kalabakan dan seluruh penyokong BN.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada pilihan raya negeri kali ini.
Mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada hari ini 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online
