Johari Seru Pengundi Beri Mandat Baharu, Kembalikan Khidmat BN Di Sabah
BEAUFORT, 15 Nov – Bendahari Barisan Nasional (BN) merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani merayu para pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah khususnya di Kuala Penyu dan Klias supaya memberi peluang kepada BN untuk mengembalikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Johari menegaskan bahawa BN kembali bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan pada PRN Sabah kali ini selepas pernah memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya lalu, namun kerusi itu akhirnya tidak kekal bersama BN.

“Pada pilihan raya yang lepas kita berikan kerusi di sini kepada PN bertanding kerana mereka bersama dengan kita dan bila mereka dah menang mereka tinggalkan kita, jadi kali ini kita buat keputusan nak bertanding semula di kawasan ini yang merupakan kubu kuat BN.
“Calon yang kita letakkan kali ini adalah antara yang paling disukai oleh penduduk setempat,” katanya.
Beliau yakin dua calon BN di Kuala Penyu dan Klias mempunyai rekod baik, hubungan rapat dengan masyarakat serta komitmen tinggi untuk bekerja demi kepentingan rakyat.
“Maka saya mohon kepada pengundi di Kuala Penyu dan juga Klias supaya memberi peluang kepada calon BN untuk menjaga rakyat di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johari menolak cubaan pihak lawan memainkan isu 40 peratus hasil Sabah, menegaskan bahawa Perdana Menteri sudah membuat keputusan untuk tidak merayu dan menghormati perlembagaan.
“Jadi isu itu tidak berbangkit. Fokus kita adalah membina kembali kepercayaan rakyat dan memastikan pembangunan di Sabah berjalan seperti sepatutnya,” katanya.
Berkaitan 80 peratus calon baharu BN, Johari menegaskan komitmen parti untuk terus melahirkan pemimpin baharu sebagaimana di PRN Sabah kali ini.
Menurutnya, BN telah terlibat dalam kemerdekaan negara, parti itu telah melahirkan ramai pemimpin dan sehingga kini kekal konsisten mencari serta mengasah bakat baharu.
Jelasnya, usaha melahirkan pemimpin generasi seterusnya tidak pernah berhenti dan diteruskan dalam PRN kali ini.
“Kita tahu kalau bertanding di Sabah maka perlu beri sepenuhnya mandat kepada orang Sabah. Kita sentiasa mencari wajah baru. Sebab itu kali ini BN mencalonkan 80 peratus muka baru, yang tak pernah bertanding. Jadi doa sama-sama untuk kemenangan BN kerana kita mahu pembangunan di Sabah ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi proses penamaan calon di Dewan Pak Musa, Beaufort.
Calon BN Haji Osin Jilon bagi kerusi N.32 Klias bakal berdepan saingan sembilan penjuru dan Datuk Awang Aslee Lakat bagi kerusi N.33 Kuala Penyu pula enam penjuru.
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November. – UMNO Online
