Gelombang Biru Warnai Penamaan Calon BN Di Beaufort

BEAUFORT, 15 Nov – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Dewan Pak Musa, di sini berlangsung meriah apabila Barisan Nasional (BN) hadir dengan gelombang biru yang memenuhi kawasan seawal 7.30 pagi.

Bendahari BN merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani mengiringi dua calonnya iaitu Haji Osin Jilon bagi kerusi N.32 Klias dan Datuk Awang Aslee Lakat bagi kerusi N.33 Kuala Penyu.

 

Turut sama mengiringi kedua-dua calon yang berarak masuk ke pusat penamaan ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ketua UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan serta kepimpinan parti, jentera BN dan ratusan penyokong yang bersemangat.

Suasana di pekarangan dewan bertambah hangat dengan nyanyian lagu-lagu perjuangan, kibaran bendera biru dan sorakan penyokong yang menunjukkan keyakinan tinggi terhadap dua calon tersebut.

Kehadiran gelombang biru ini turut menggambarkan sokongan kukuh BN di Beaufort.

Proses penamaan calon di Dewan Pak Musa berjalan lancar dan terkawal dengan pemantauan pihak keselamatan, manakala penyokong peringkat akar umbi memanfaatkan kesempatan untuk menyatakan sokongan terhadap calon pilihan mereka.

Dengan semangat yang ditunjukkan hari ini, BN Beaufort optimis bahawa momentum ini akan diterjemahkan kepada sokongan padu pada hari pengundian kelak, sekali gus mengembalikan kekuatan BN di kawasan Klias dan Kuala Penyu.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO