Tindakan Rahman Beri Peluang Muka Baharu, Satu Politik Sihat – Mohamad Hasan
SEREMBAN, 14 Nov – Keputusan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menolak pencalonannya di DUN Tempasuk untuk memberi laluan kepada calon tempatan pada PRN ke-17 disifatkan sebagai politik sihat.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan itu mencerminkan kebertanggungjawaban pemimpin yang mengutamakan kepentingan parti serta rakyat di kawasan berkenaan.

“Beliau bukan ketua bahagian di situ, beliau ketua UMNO Tuaran tapi bertanding di kawasan Parlimen Kota Belud, jadi perbincangan telah dilakukan agaknya pada peringkat mereka maka beliau amat berbesar hati memberikan laluan kepada Ketua UMNO Kota Belud (Azuwan Marjan Norjan).
“Ini perkara yang baik dan merupakan satu politik sihat, kerana kita beri laluan kepada pemimpin setempat, jadi kita berharap supaya laluan yang diberikan itu memberi peluang kepada kepimpinan baharu atau calon baharu untuk menang,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kit peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan komputer riba kepada pelajar institut pengajian tinggi, membabitkan lebih 1,000 penerima di Parlimen itu, semalam.
Pada Rabu, Rahman dilapor memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno dan memberitahu ingin memberi laluan kepada muka baharu serta anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti di DUN berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal 25 Nov.
Pada PRN Sabah lalu kerusi DUN Tempasuk dimenangi Datuk Mohd Arsad Bistari yang ketika itu mewakili BN dengan majoriti 1,685 undi.
Bagaimanapun, untuk PRN kali ini Arsad dinamakan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN sama. – BERNAMA
